Media Sosial Jangan Tambah Tekanan Anggota Keselamatan Negara - Zahid Hamidi

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon supaya media sosial di negara ini bertindak rasional dengan tidak memperlekeh usaha pasukan keselamatan yang mengawal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau menegaskan bahawa para pengendali media sosial sewajarny harus bersama-sama dan menyokong sebarang usaha kerajaan dalam mendaulatkan negara daripada sebarang aktiviti pencerobohan di sempadan negara di negeri itu.

Menteri KDN itu menjelaskan bahawa insiden yang berlaku di perairan Sabah termasuk yang berlaku baru-baru ini membabitkan soal maruah negara yang menjadi masalah bersama dan bukannya menuding jari meletakkan kesalahan di bahu ESSCOM semata-mata.

"Saya minta media sosial atau mana-mana pihak agar jangan merendah-rendahkan usaha yang dibuat ESSCom sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ataupun APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia).

"Ini masalah negara. Pasukan keselamatan kita harus diberi sokongan moral oleh semua pihak. Media sosial harus bersama dan jangan hanya pandai mengutuk sahaja," katanya yang dipetik dari Bernama, sejurus selepas Majlis Iftar Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan baru-baru ini.

Zahid berkata demikian ketika mengulas insiden yang menyebabkan anggota pasukan Polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh dan Konstabel Zakia Aleip, 26, yang dilaporkan hilang,  dipercayai telah diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna.

Ekoran itu, beberapa pengendali laman media sosial khususnya pro-parti pembangkang bertindak memperlekeh ESSCOM dan KDN, seolah-olah sengaja menambah kekusutan dan tekanan yang dihadapi pasukan anggota keselamatan negara di Sabah.

Pengarah Operasi ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun sebelum ini memaklumkan bahawa penyerang yang menggunakan senjata berat itu membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam semalam.

Mengulas tentang perkara tersebut, Zahid menyatakan apa yang berlaku merupakan satu cabaran yang terpaksa dihadapi PDRM sebelum pasukan itu mengambil alih pentadbiran dan operasi ESSCOM mulai 15 Julai ini.

"Saya ingin sahkan kejadian itu merupakan satu tamparan dan pukulan terhadap PDRM sebelum ambil alih ESSCom," katanya.

Kata Zahid, tindakan pihak pengganas yang melakukan serangan secara gerila itu adalah sangat mencabar namun tindakan pihak musuh sedikit pun tidak menggentarkan pasukan keselamatan.

Ahmad Zahid berkata pihak musuh yang terbabit sebenarnya terkenal mempunyai sifat dendam yang sangat tinggi dan dijanjikan upah yang lumayan oleh pihak tertentu untuk melancarkan serangan seperti itu.
"Masyarakat itu sebenarnya golongan yang berada pada paras kemiskinan dan mereka sebenarnya telah digula-gulakan untuk melakukan tindakan itu," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya masih tiada maklumat terkini berhubung nasib Konstabel Zakia Aleip yang disahkan telah diculik pengganas sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. -KedahNews.com