#MH17: 2 Perkara Buat Najib Marah


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau berasa marah dan kecewa berikutan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine kerana dua perkara.

Beliau difahamkan bahawa kawasan nahas telah dikuasai serta dikawal kumpulan pemisah Ukraine yang pro-Russia dan terletak dalam kawasan konflik berhampiran sempadan Russia.

“Saya merasa agak marah dan kecewa disebabkan dua perkara iaitu, apabila saya dimaklumkan bahawa mereka tidak menghormati kawasan tragedi kemalangan itu sebagai kawasan larangan serta tidak mengikut atau mematuhi piawai amalan antarabangsa untuk memastikan bahan bukti tidak hilang atau tercemar.

“Perkara kedua ialah kelewatan dalam mengendalikan tragedi itu yang menyebabkan kegagalan memberi penghormatan dan menjaga maruah mayat-mayat mangsa yang sepatutnya mereka terima,” kata Najib.

Disamping itu, Najib juga telah pun mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk mengkaji insiden nahas MH17 dengan mendalam dan teliti.

Menurut beliau, ia bagi memastikan sebarang tindakan yang akan diambil Malaysia kelak, berlandaskan serta selaras dengan undang-undang antarabangsa yang terpakai dalam hal sebegitu.

“Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai, bersamaan 19 Ramadan, satu tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan, apabila saya menerima panggilan daripada Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof berkaitan MH17.

“Ternyata, belum pun reda tragedi MH370, kini peristiwa tragik MH17 berlaku tanpa diundang,” katanya ketika berucap membentangkan usul dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membincangkan insiden itu di Parlimen hari ini.

Menurut Najib, dalam masa kurang dua jam, beliau telah tiba di Bilik Operasi MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama beberapa orang Menteri.

“Kami diberi taklimat daripada pihak pengurusan MAS tentang apa yang berlaku.

Setelah itu tanpa berlengah, saya tidak putus-putus menghubungi dan dihubungi beberapa pemimpin dunia antaranya Presiden Amerika Syarikat; Barrack Obama, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko tentang musibah yang terjadi,” katanya.

Najib berkata beliau membuat keputusan untuk menghantar pasukan khas ke kawasan bencana tersebut.

Menurut beliau, sekitar pukul 5 pagi beliau mengadakan sidang akhbar khas untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia tentang apa sebenarnya yang berlaku pada ketika itu.

Laluan MH17 Diakui Selamat

Dalam ucapan usul itu juga, Najib turut memaklumkan senarai penumpang mengikut kewarganegaraan yang rasmi iaitu penumpang Belanda (192), Malaysia (43-15 anak kapal dan dua bayi), Australia (27), Indonesia (12-termasuk seorang bayi) dan United Kingdom (10-termasuk 1 dwi-warganegara UK/Afrika Selatan).

Baki negara lain ialah Jerman (4), Belgium (4), Filipina (3), Amerika Syarikat (1-dwi-warganegara Amerika/Belanda), Kanada (1) dan New Zealand (1).

“Ini menjadikan kesemua mangsa yang terkorban berjumlah 298 orang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak pakal, ini termasuk 83 orang kanak-kanak dan tiga bayi yang tidak berdosa,” kata Perdana Menteri.

Najib turut memaklumkan fakta bahawa laluan yang digunakan penerbangan MAS diperakui selamat.

“Berkaitan laluan penerbangan yang digunakan MAS, perlu saya jelaskan bahawa laluan penerbangan yang direntasi pesawat MH17 ini merupakan laluan yang diperakui selamat dan diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), serta negara Ukraine yang ruang udaranya turut dijadikan laluan penerbangan.

“Tambahan lagi, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga telah menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu adalah laluan udara yang selamat.

“Sebagai contoh, 15 daripada 16 syarikat penerbangan dalam Persatuan Penerbangan Asia Pasifik turut menggunakan laluan ini untuk ke Ukraine,” kata Najib.

Pesawat Dalam Keadaan Baik

Perdana Menteri turut berkata bahawa fizikal dan teknikal pesawat MAS, MH17 itu berada dalam keadaan baik sewaktu kejadian.

Pihak MAS telah mengeluarkan kenyataan pada awal pagi 18 Julai, bahawa pesawat itu dalam keadaan yang bersiap sedia untuk diterbangkan,

“MAS turut mengesahkan semua sistem pesawat berfungsi seperti biasa, khususnya sistem Aircraft Communications Addressing And Reporting System (ACARS) dan Transponder,” ujar beliau.

Dakwaan MH17 Ditembak Jatuh

Berikutan dakwaan MH17 ditembak peluru berpandu, Najib berkata pada 17 Julai, ketika beberapa jam selepas pesawat MH17 terhempas, pegawai di Amerika Syarikat dan Ukraine mendakwa pesawat tersebut telah ditembak jatuh di timur negara Uraine.

“Jika benar dakwaan tersebut berlaku, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun, biadap dan bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat malang MH17,” katanya.

Beliau berkata Malaysia menggesa ICAO, selaku penjaga keselamatan penerbangan awam sedunia, untuk mengeluarkan resolusi yang mengutuk sekerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana yang telah dibuat terdahulu.

“Tambahan pula, perbuatan menembak jatuh pesawat komersial MH17 ini, suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam dan sangat ganas,” kata Najib.

Mesyuarat Khas itu bermula pada pukul 10 pagi di Dewan Rakyat dan ia turut mendapat sokongan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sumber: Mynewshub.my