#MH17: Hasrat Najib Bawa Pulang Jenazah Sebelum Aidilfitri Mungkin Tidak Kesampaian...

Berkemungkinan besar bahawa jenazah 43 warga Malaysia yang menjadi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, di Ukraine baru-baru ini tidak boleh dibawa pulang sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasrat beliau untuk melihat jenazah rakyat negara ini dapat kembali ke pangkuan keluarga dan disemadikan sebelum Aidilfitri nampaknya agak suram ekoran jenazah-jenazah itu perlu mengikuti beberapa prosedur teknikal.

Kata beliau, beberapa aspek teknikal yang perlu diselesaikan bagi kesemua jenazah mangsa yang turut membabitkan soal pengesahan DNA.

Memetik laporan dari The Star online, Najib menjelaskan bahawa amat penting untuk proses mengenalpasti DNA dijalankan dengan prosedur yang ketat bagi memastikan bukti betul-betul kukuh bagi menguatkan asas tindakan undang-undang kelak.

Malaysia sudah menyatakan komitmen tegas untuk mengheret pihak bertanggungjawab membunuh kesemua 298 orang penumpang ke muka pengadilan dalam sidang khas parlimen yang berlangsung semalam.

Perdana Menteri turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan pasukan penyiasat bebas antarabangsa masih gagal mendapatkan akses penuh ke lokasi nahas pesawat itu.

Najib berkata, beliau akan memulakan rundingan bersama dengan pihak berkuasa Ukraine berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat. 

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menurunkan tandatangannya di atas Buku Takziah di Bangunan Kedutaan Belanda ke Malaysia.

Turut hadir ialah Duta Belanda ke Malaysia Harry Molenaar dan isterinya Dr Loes Nas. -KedahNews.com