#MH17 : Jenazah Beragama Islam Akan Di Sembahyangkan Di Masjid KLIA


Kuala Lumpur, 24 Julai – Kesemua jenazah penumpang pesawat Malaysia Airline (MAS) penerbangan MH17 beragama Islam yang terlibat dalam nahas di sempadan Ukraine pada 17 Julai lalu akan di sembahyangkan di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesemua jenazah akan terus dibawa ke masjid itu sebaik tiba di Terminal Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Semua kenderaan jenazah telah disediakan secukupnya dan diselaraskan secara bersama oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, Perbadanan Putrajaya  akan menyediakan tempat perkebumian di Presint 20 di sini sekiranya mendapat permintaan daripada ahli keluarga mangsa.

Selain itu, Jamil Khir turut menegaskan mengenai Solat Jenazah Ghaib hanya akan dilakukan setelah kesemua jenazah beragama Islam selesai dimandi serta dikafankan oleh pertugas Malaysia di Amsterdam.

“Pada masa sama, walaupun setelah jenazah sampai di KLIA, tiada tegahan untuk umat Islam mengadakan Solat Jenazah (secara hadir) sekali lagi.

“Bagi umat Islam yang berada di negeri atau tempat berjauhan yang berhasrat untuk mengadakan Solat Jenazah, tetapi tidak berkesempatan untuk hadir bersama, mereka boleh melakukan Solat Jenazah Ghaib di tempat masing-masing,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menghantar 10 orang wakil ke sana termasuk dua orang petugas wanita yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat bagi membantu pertugas di Ukraine untuk menguuruskan jenazah.

Menurut Jamil Khir lagi, kesemua petugas JAKIM yang dihantar hanya akan menguruskan jenazah yang sudah dikenalpasti  beragama Islam oleh pakar forensic dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi jenazah yang status agamanya tidak dapat dikenalpasti, ia akan diuruskan mengikut pengurusan jenazah orang Islam dengan niat ‘in kana Muslim’ (sekiranya Muslim) bagi proses pengebumian. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor