KIEV – Kini lebih 200 beg hitam yang mengandungi mayat-mayat mangsa
nahas MH17 disimpan dan dipindah ke gerabak kereta api barang yang
dilengkapi dengan alat penghawa dingin.
Urusan pemindahan mayat-mayat ini dilakukan oleh pihak pemisah Ukraine yang pro-Rusia sejak Sabtu.
Walaupun mendapat tentangan dan kritikan antarabangsa tetapi
askar-askar puak pemisah berkata itulah langkah terbaik yang boleh
mereka lakukan kerana mayat-mayat mangsa yang telah dikutip dan
dikumpulkan dari tempat nahas telah berbau.
Sebelum itu, mayat-mayat mangsa telah dibiarkan terdampar di tepi
jalan dan di tempat pesawat malang itu terhempas sejak Sabtu dan musim
panas di Eropah sekarang menjadikan situasi semakin sukar.
Sebahagian besar pekerja yang ditugaskan membantu mengangkut
mayat-mayat itu didatangkan khas dari sebuah lombong yang berdekatan
bagi mempercepatkan proses memindah ke gerabak kereta api.
Isu berkaitan urusan pengurusan mayat mangsa dan juga bangkai pesawat
di tempat kejadian menjadi perdebatan antarabangsa kerana puak pemisah
yang pro-Rusia menghadkan kemasukan pasukan antarabangsa yang dihantar
ke tempat kejadian oleh kerajaan pusat Ukraine.
Kini gerabak-gerabak berhawa dingin itu di tempatkan di Stesen Kereta Api Torez sembilan batu dari tempat kejadian.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman memberitahu satu
sidang akhbar di Kiev sejumlah 192 mayat telah dipindahkan ke
gerabak-gerabak berhawa dingin itu.
Bagaimanapun katanya pihak pemisah enggan membenarkan kereta api itu berlepas keluar dari Torez. -Agensi