#MH17: Pemisah Pro-Rusia Enggan Serah Kotak Hitam Kecuali...

Pasukan penyelamat dilaporkan sudah menjumpai kotak hitam pesawat MH17 di lokasi nahas namun ia didakwa telah dirampas oleh puak pemisah pro-Rusia yang menguasai sebahagian wilayah Donetsk, Ukraine, lokasi pesawat terhempas.

Sebuah video yang dipercayai telah direkodkan sehari selepas insiden pesawat itu terhempas ditembak jatuh, pasukan menyelamat telah menjumpai kotak hitam di celah-celah serpihan badan pesawat Boeing 777 itu.

Menurut sumber, rakaman tersebut dikatakan telah direkod di ladang gandum di perkampungan Hrabove, Ukraine.

Bagaimanapun, pasukan pemberontak dilaporkan hanya bersetuju untuk menyerahkan kotak hitam tersebut kepada pihak yang sepatutnya selepas pakar mengesahkan itu memang benar-benar kotak hitam daripada pesawat tersebut.

"Kami akan pegang dan simpan kotak hitam sehingga ianya telah disahkan oleh Persatuan Pernerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa memang benar kotak hitam yang kami simpan ini adalah daripada badan pesawat MH17," ketua pemberontak, Aleksander Borodai,

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman, pula dalam kenyataannya pada media memberitahu bahawa pihak kerajaan Ukraine memang sudah menjangkakan pihak pemberontak sudah menjumpai dan menyimpan kotak hitam tersebut.

“Kami sudah mengesyaki mereka mempunyainya (kotak hitam). Beberapa hari ini agak sukar untuk kita menjangkakan apa sudah jadi dengan kotak hitam tersebut,” katanya yang dipetik dari media antarabangsa, Al-Jazeera.

Menurut laman media itu lagi, pihak pemberontak kini didakwa sudah mengangkut hampir 200 mayat ke dalam gerabak tren lengkap dengan peti sejuk mayat.

Setakat ini, pihak media antarabangsa yang berkampung di lokasi kejadian masih tidak mengetahui ke mana mayat-mayat tersebut akan dibawa oleh pihak pemberontak tersebut.

Ukraine dan pihak pemberontak saling tuding menuding menyalahkan satu sama lain selepas pihak militan didakwa telah menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada Khamis lalu.

Pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal yang kesemuanya terkorban dalam nahas udara paling buruk melanda dunia tahun ini. -KedahNews.com