KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan menggesa
semua pihak termasuk parti kerajaan dan pembangkang tidak bersikap menuding jari atau menyalahkan antara satu sama lain berhubung insiden tragedi militari yang berlaku terhadap pesawat MAS, MH17.
Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, dalam menghadai musibah tersebut seluruh rakyat Malaysia
sepatutnya bersatu hati tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman
politik demi mencari kebenaran dalam insiden itu.
“Semangat kecintaan kepada negara dan perpaduan merupakan
elemen penting dalam memastikan tanah air tercinta ini dapat mengharungi
fasa kritikal ini dengan sebaiknya.
“Sikap saling menuduh, menyebarkan berita palsu dan teori
karut perlu dijauhi kerana ia hanya akan mengundang sengketa dan
perbalahan sesama kita yang tidak berkesudahan,” katanya melalui satu
kenyataan media hari ini.
Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, dilapor seolah-olah menuding jari terhadap tindakan MAS dan Kerajaan kononnya memilih
melalui ruang udara Ukraine memandangnya telah berlaku insiden tembakan
terhadap pesawat pengangkutan sebelum itu.
“Dengan rekod yang sedemikian bahaya, pesawat MAS tidak sepatutnya
menggunakan ruang Ukraine sebagai laluan penerbangannya kerana risikonya
terlalu tinggi,” katanya cuba menyalahkan dua pihak tersebut.
Khairil Nizam berkata, serangan terhadap pesawat yang membawa 295 orang penumpang yang terdiri dari orang awam dan anak kapal itu adalah suatu tindakan yang amat kejam apabila dibabitkan dalam konflik pertelagahan politik kuasa besar
dunia.
“Pastinya kita menuntut agar pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah kejam ini akan diseret ke muka pengadilan,” tegasnya. -KedahNews.com