Pembentangan Usul Mengenai Tragedi Malang Yang Menimpa Pesawat MAS,
MH17 Pada 17 Julai 2014, Di Bawah Peraturan 27(3), Peraturan-Peraturan
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
1. Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai 2014, bersamaan
19 Ramadan 1435 Hijrah, satu tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan,
apabila saya menerima panggilan daripada Pengerusi Malaysian Airlines,
Tan Sri Md Nor Yusof, berkaitan MH17.
2. Ternyata, belum pun reda tragedi MH370, kini peristiwa tragik MH17 berlaku tanpa diundang.
3. Bahawa, atas ketentuan Ilahi jua, satu peristiwa tragik telah
berlaku. Dunia secara umum dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah
dikejutkan dengan tragedi tidak terduga, apabila pesawat komersial
Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke
Kuala Lumpur diberitakan terhempas.
4. Dalam tempoh kurang 2 jam, saya telah tiba di bilik operasi MAS
KLIA, bersama beberapa orang Menteri. Kami diberi taklimat daripada
pihak pengurusan MAS tentang apa yang berlaku. Setelah itu, tanpa
berlengah, saya tidak putus-putus menghubungi dan dihubungi oleh
beberapa pemimpin dunia antaranya Presiden Obama dari Amerika Syarikat,
Perdana Menteri Mark Rutte dari negara Belanda dan Presiden Ukraine
Petro Poroshenko tentang musibah yang terjadi.
5. Selepas itu, lebih kurang pukul 2 pagi, saya telah membuat
keputusan segera untuk menghantar pasukan khas ke kawasan bencana
tersebut.
6. Akhirnya, sekitar jam 5 pagi, saya telah mengadakan sidang akhbar
khas, untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia,
tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku pada ketika itu.
7. Untuk makluman dewan yang mulia ini, penerbangan tersebut berlepas
kira-kira jam 12.15 tengahari waktu tempatan, dijadualkan tiba di KLIA
pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat itu membawa sejumlah 298
orang, yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Seramai 43
orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia termasuklah 2 orang
bayi.
8. Pihak Malaysian Airlines turut mengesahkan menerima makluman
daripada Pusat Kawalan Trafik Udara atau ATC, Ukraine yang ia terputus
hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 10.15 malam waktu tempatan,
kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
Pernyataan Takziah dan Belasungkawa
Tuan Yang Dipertua,
9. Justeru, bagi mewakili pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya
menzahirkan perasaan amat dukacita, rasa sangat sedih dan kepiluan yang
amat sangat terhadap tragedi yang menimpa penumpang-penumpang serta
anak-anak kapal pesawat MH17.
10. Lanjutan itu, ucapan takziah dan belasungkawa serta simpati yang
sangat mendalam juga, terutama kepada kepada seluruh anggota keluarga,
rakan taulan dan kenalan mangsa-mangsa tragedi. Adalah diharapkan semoga
mereka semua terus cekal dan tabah dalam menempuh dugaan yang amat
berat lagi mencabar ini.
11. Dalam hal ini, kita juga telah memutuskan pada 18 hingga 21 Julai
2014 lalu, Kerajaan telah mengisytiharkan panji-panji negara yakni
jalur gemilang, dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.
12. Kepada yang beragama Islam, marilah kita sedekahkan Ummul Kitab
Al-fatihah dan kepada yang beragama lain, kita bertafakur sejenak.
Fakta-Fakta Mustahak
Tuan Yang Dipertua,
13. Beberapa fakta penting yang perlu diperincikan dalam dewan yang mulia ini.
14. Fakta pertama: Jumlah mangsa yang terkorban. Bagi makluman semua,
Malaysia Airlines telah menyenaraikan kewarganegaraan penumpang dan
anak kapal pesawat MH17 yang terlibat dengan insiden ini. Senarai
kemaskini pada 18 Julai 2014 berdasarkan pecahan warganegara yang
dikenal pasti adalah seperti berikut:
Belanda- 192 orang
Malaysia- 43 orang (termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi)
Australia- 27 orang
Indonesia- 12 orang (termasuk seorang bayi)
United Kingdom- 10 orang (termasuk 1 dwi-kerakyatan UK/Afrika selatan)
Jerman- 4 orang
Belgium- 4 orang
Filipina- 3 orang
Amerika- 1 orang (dwi kerakyatan Amerika/Belanda)
Kanada- 1 orang
New Zealand- 1 orang
Malaysia- 43 orang (termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi)
Australia- 27 orang
Indonesia- 12 orang (termasuk seorang bayi)
United Kingdom- 10 orang (termasuk 1 dwi-kerakyatan UK/Afrika selatan)
Jerman- 4 orang
Belgium- 4 orang
Filipina- 3 orang
Amerika- 1 orang (dwi kerakyatan Amerika/Belanda)
Kanada- 1 orang
New Zealand- 1 orang
Ini menjadikan kesemua mangsa yang terkorban berjumlah 298 orang,
terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Ini termasuk 83 orang
kanak-kanak dan 3 bayi yang tidak berdosa.
Tuan Yang Dipertua,
15. Fakta kedua: Laluan Penerbangan MAS diperakui selamat.
Berkaitan laluan penerbangan yang digunakan oleh MAS pula, perlu saya
jelaskan, bahawa laluan penerbangan yang direntasi pesawat MH17 ini
merupakan laluan yang diperakui selamat dan diluluskan oleh
International Civil Aviation Organization atau Pertubuhan Penerbangan
Awam Antarabangsa ICAO, serta negara Ukraine yang ruang udaranya turut
dijadikan laluan penerbangan. Tambahan lagi, Persatuan Pengangkutan
Udara Antarabangsa atau IATA juga telah menyatakan ruang udara yang
direntasi pesawat itu adalah laluan udara yang selamat.
16. Sebagai contoh, lima belas daripada 16 syarikat penerbangan dalam
Persatuan Penerbangan Asia Pasifik turut menggunakan laluan ini untuk
ke Ukraine. Syarikat penerbangan Eropah juga menggunakan laluan sama dan
merentasi ruang udara yang sama. Malah, beberapa jam sebelum nahas,
beberapa pesawat penumpang syarikat penerbangan dari beberapa negara
Asia turut menggunakan laluan yang sama.
17. Untuk makluman juga, menurut Wall Street Journal, yang
memetik laporan dari Eurocontrol, terdapat 400 penerbangan komersial,
termasuk 150 penerbangan antarabangsa dilaporkan merentasi ruang udara
Timur Ukraine setiap hari. Malah, 2 hari sebelum berlakunya tragedi ini,
sebanyak 75 penerbangan dari pelbagai syarikat penerbangan yang berbeza
turut menggunakan laluan yang sama, sepertimana laluan yang digunakan
oleh Pesawat MH17. Lagi pula, ketika pada hari kejadian itu juga,
juruterbang Pesawat MH17 tidak menerima sebarang arahan untuk menukar
laluan penerbangan.
18. Fakta ketiga: Fizikal dan Teknikal Pesawat MAS berkeadaan baik.
Berkait soal keadaan fizikal serta teknikal pesawat pula, pada awal pagi
18 Julai 2014 lalu, MAS telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan
bahawa pesawat MH17 berada dalam keadaan baik. MAS turut mengesahkan
semua sistem pesawat berfungsi seperti biasa, terutamanya Aircraft
Communications Addressing And Reporting System (ACARS) dan transponder
pesawat.
19. Fakta keempat: Undang-Undang Antarabangsa. Tindakan menembak
jatuh pesawat ini, bukan sahaja perbuatan yang sangat zalim, malah
bertentangan serta melanggar prinsip sepertimana yang ditetapkan oleh
undang-undang antarabangsa melalui Convention on International Civil
Aviation atau lebih dikenali sebagai Chicago Convention dan diiktiraf
oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB dalam
Resolusi 1067 (1996).
20. Dalam hal ini, PBB telah sebulat suara menerima pakai resolusi
bagi mendesak puak pemisah memberi akses tanpa halangan ke tempat
kejadian di mana pesawat MH17 terhempas di Ukraine. Ia juga mendesak
agar semua kegiatan ketenteraan, termasuk oleh kumpulan bersenjata,
dihentikan serta-merta di sekeliling kawasan terbabit dengan insiden
berkenaan, bagi membolehkan penyiasatan antarabangsa dilakukan dengan
selamat.
21. Sehubungan itu, saya juga telah mengarahkan Peguam Negara
untuk mengkaji perkara ini dengan mendalam dan teliti, bagi memastikan
sebarang tindakan yang akan diambil oleh Malaysia kelak, berlandaskan
serta selaras dengan undang-undang antarabangsa yang terpakai dalam hal
keadaan sebegini.
Tuntutan dan Gesaan Malaysia
Tuan Yang Dipertua,
22. Sebagai makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 17 Julai 2014,
iaitu beberapa jam selepas pesawat MH17 terhempas, pegawai di Amerika
Syarikat dan Ukraine mendakwa pesawat tersebut telah ditembak jatuh di
Timur Ukraine.
23. Jika benar dakwaan tersebut berlaku, kita mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tidak
bertamadun, biadap dan bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab oleh
pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat malang MH17.
24. Namun demikian, buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada
mana-mana pihak, sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diperolehi.
25. Saya difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian tersebut,
telah dikuasai serta dikawal oleh kumpulan pemisah. Namun demikian, saya
merasa agak marah dan kecewa disebabkan oleh dua perkara iaitu:
Perkara pertama: Apabila saya dimaklumkan bahawa mereka tidak
menghormati kawasan tragedi kemalangan itu sebagai kawasan larangan
serta tidak mengikut atau mematuhi piawai amalan antarabangsa untuk
mempastikan bahan-bahan bukti tidak hilang dan tidak tercemar.
Perkara kedua: Kelewatan dalam mengendalikan tragedi itu, yang
menyebabkan kegagalan memberi penghormatan dan menjaga maruah
mayat-mayat mangsa yang sepatutnya mereka terima.
26. Di samping itu juga, Malaysia menggesa ICAO, selaku penjaga
keselamatan penerbangan awam sedunia, untuk mengeluarkan resolusi yang
mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana
yang telah dibuat terdahulu dalam kes penembakan pesawat udara yang
lain.
27. Tambahan pula, perbuatan menembak jatuh pesawat komersial MH17
ini, suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam
dan sangat ganas.
Tuan Yang Dipertua,
28. Seperti yang dinyatakan dalam Annex 13, Konvensyen ICAO, Kerajaan
Ukraine perlu bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan yang membawa
kepada berlakunya nahas itu. Laporan kemaskini siasatan perlu diberikan
kepada keluarga terdekat sepertimana tertakluk di dalam garis panduan
ICAO.
29. Semestinya, Malaysia akan menawarkan sokongan penuh tidak
berbelah bahagi untuk terlibat sama dalam siasatan ini. Untuk makluman,
Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai
dan Menteri Luar, Dato’ Sri Anifah Aman antara yang telahpun berada di
Kiev, Ukraine.
30. Oleh yang demikian, Malaysia juga mengalu-alukan gesaan
untuk siasatan oleh badan bebas antarabangsa mengenai nahas itu, dan
mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan itu
dapat diselesaikan. Kita menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa
yang bebas dalam tragedi ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap
berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan.
31. Berkait dengan itu, pada jumaat lalu, kita telah menghantar
sebuah pesawat yang membawa satu pasukan khas sejumlah 133 orang,
terdiri daripada pasukan SMART, pegawai-pegawai teknikal, kumpulan
perubatan dan Jakim ke kawasan bencana. Satu Pasukan Penyiasatan Khas
juga terdiri daripada wakil dari Malaysia, Belanda, Britain dan Amerika
Syarikat telah dibentuk.
32. Kepada ahli keluarga dan waris mangsa nahas pula, MAS telah pun
menghantar seramai 40 kakitangannya ke Amsterdam untuk memberi bantuan
dan sokongan moral kepada ahli keluarga mangsa.
33. Selanjutnya, saya juga telah menerima banyak panggilan daripada
pemimpin-pemimpin dunia yang memberi sokongan dan simpati serta berjanji
akan menghulurkan pertolongan dalam apa jua bentuk yang terdaya.
Tentunya, bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan
berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan mereka dan masyarakat dunia
kepada Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Kejayaan Tiga Persetujuan
34. Ketahuilah, secara prinsipnya apa telah dilakukan ke atas mayat
mangsa adalah perbuatan yang salah, namun, setidak-tidaknya hasil
perundingan dengan ketua kumpulan pemisah, kita berjaya mengurangkan
kerosakan yang lebih besar.
35. Lantas, tidak semua tindakan perlu kita hebahkan. Dengan
izin, “sometimes we must work quietly in the service of a better
outcome” yakni, adakalanya kita mesti bekerja secara senyap dalam
perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang lebih baik, terutama
ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah, dengan nawaitu dan
hasrat murni bagi memastikan mangsa-mangsa dapat dikembalikan serta
diberi penghormatan untuk disemadikan, meskipun masanya sudah berlalu.
36. Alhamdulillah, pada hari Isnin 21 haribulan Julai 2014 yang lalu,
dalam keadaan yang sukar, saya terpaksa mengambil keputusan berisiko,
demi kepentingan mayat-mayat mangsa tragedi dan untuk mendapatkan
kepastian serta realiti sebenar tentang apa yang telah berlaku.
37. Dalam hal ini, saya telah berunding dengan Alexander
Borodai, iaitu Ketua Pemisah Pro-Rusia, kerana kawasan berkenaan
dikuasai oleh mereka. Hasil rundingan tersebut telah berjaya mencapai
tiga persetujuan iaitu:
i) Pertama: Kesemua mayat mangsa MH17 yang ditemui, yang dianggarkan
berjumlah 282, telah dibawa dari Torev ke bandar Kharkiv di Ukraine
dengan menaiki keretapi, sebelum diterbangkan ke Amsterdam dengan
diiringi oleh enam anggota pasukan penyelamat Malaysia pada jam 1 pagi,
hari Selasa 22 Julai 2014 dan telah sampai pada pukul 11.00 pagi waktu
tempatan. Selepas kerja-kerja forensik yang akan dilakukan di Amsterdam,
kesemua mayat rakyat Malaysia akan dibawa pulang ke tanahair dengan
seberapa segera. Saya lakukan perkara-perkara ini dan akan berusaha
sedaya mungkin, sebab saya sudah berjanji sewaktu bertemu dengan
keluarga mangsa, seboleh-bolehnya menjelang syawal ini, semua mayat
mangsa dapat disemadikan dengan selamat. Barulah damai dan tenteram
hati-hati pihak keluarga korban tragedi.
ii) Kedua: Dua kotak hitam pesawat MH17 telah diserahkan kepada
pasukan Malaysia di Donetsk, pada pukul 9 malam, hari Isnin 21 Julai
2014, waktu Ukraine, untuk dijadikan hak milik Malaysia. Tanpanya, agak
sukar untuk kita meneruskan siasatan. Kotak hitam tersebut telah
diserahkan kepada pasukan penyiasat yang diketuai oleh negara Belanda
dan akan dihantar ke London untuk siasatan lanjut.
iii) Ketiga: Semua anggota penyiasat bebas antarabangsa diberi akses
masuk dan jaminan keselamatan ke lokasi nahas untuk melakukan siasatan
komprehensif terhadap tragedi MH17. Namun begitu, perkara tersebut belum
lagi menjadi kenyataan sepenuhnya.
Solidariti dan Perpaduan
Tuan Yang Dipertua,
38. Hakikatnya, inilah takwim yang sungguh bertragis bagi kita.
Meskipun begitu, pada saat dan detik-detik sukar lagi amat menduga di
bulan Ramadan inilah kita semestinya memperkukuhkan lagi solidariti dan
semangat perpaduan sesama kita, demi menghadapi semuanya ini. Insya
Allah.
39. Tiada kata-kata yang dapat melukiskan kesedihan. Tiada umpama
yang dapat menjadi ganti kehilangan insan yang dikasihi. Maka itu, demi
menghadapi waktu-waktu sukar ini, tidak kira apa latar belakang politik
dan agama, kita sewajibnya bersatu hati sebagai satu negara, 1Malaysia.
40. Sehubungan itu, janganlah membuat spekulasi yang boleh mengaibkan
mangsa dan keluarga mangsa. Ini bukan masanya untuk kita
berwenang-wenang di sosial media menceritakan sesuatu yang barangkali
faktanya tidak tepat atau tidak sahih.
41. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih
kepada Ketua Pembangkang dan Ahli Yang Berhormat Gelang Patah serta
ketua-ketua parti lain, kerana tampil memberi kenyataan yang menyifatkan
tragedi MH17, seumpama pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhnya
mestilah dibawa ke muka pengadilan.
42. Meskipun begitu, dalam masa kita masih diselubungi perasaan
dukacita dan kesedihan yang amat sangat, kita sesekali tidak pernah lupa
tentang nasib buruk yang menimpa saudara seakidah kita rakyat Palestin
di bumi Gaza, telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa, akibat
kekejaman serta kezaliman. Oleh itu, kita mendesak supaya gencatan
senjata dilakukan serta merta.
Penutup
Tuan Yang Dipertua,
43. Jelasnya, walaupun banyak ikhtiar yang telah kita lakukan, namun
masih ada lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Walaupun masih getir dan
mencabar serta menempuh pelbagai rintangan, kita tidak sekali-kali akan
berhenti separuh jalan.
44. Lantaran itu, kita menggesa penyiasatan mestilah
dilakukan oleh sebuah pasukan bebas bagi menyiasat punca-punca pesawat
MH17 terhempas. Beberapa persoalan yang inginkan jawapan segera seperti
adakah ia ditembak dengan peluru berpandu, angkara siapa, siapa bekalkan
persenjataan, apa motif mereka sebenarnya?
45. Lanjutan, adakah ia ditembak secara terancang, dengan niat
menjatuhkan pesawat komersial atau kesilapan yang tidak disengajakan?
Pasti semuanya ini, perlukan bukti yang jelas dan benar-benar sahih.
46. Walau apa pun yang dilakukan, ini tidak akan dapat mengembalikan
apa yang telah hilang. Bayangkan bagaimana anak yang berusia setahun
membesar tanpa kasih sayang ayahnya iaitu Ahmad Hakimi Hanapi, seorang
pembantu juruterbang, yang menjadi mangsa korban dalam tragedi ini.
Tambah memilukan, ibunya pula telah kehilangan suami.
47. Bagaimana pula nasib dan masa depan Amarpal Singh, alangkah
gundah hatinya sebagai seorang pelajar perubatan, di mana kos pengajian
selama ini, telah ditanggung oleh ayahnya yang menjadi mangsa tragedi
ini?
48. Cuba fikirkan betapa leburnya hati seorang nenek, Jamillah Noriah
Abang Anuar, dari Kuching, Sarawak yang kehilangan 6 ahli keluarga
tersayangnya.
49. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Secara peribadi, saya merasai apa yang mereka alami apabila nenek tiri
saya sendiri merupakan salah seorang daripada mangsa tersebut.
50. Berkait insiden itu juga, tambah memilukan, dunia telah
kehilangan sekumpulan pakar saintis yang terlibat dalam penyelidikan
berkaitan AIDS dan HIV, sedang dalam perjalanan untuk menghadiri
Persidangan AIDS Antarabangsa di Australia.
51. Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah yang tidak dapat saya
utarakan di sini. Sebagai contoh, negara Belanda telah kehilangan
sejumlah 192 rakyatnya dalam tragedi MH17. Jumlah ini sangat besar
berdasarkan nisbah peratusan penduduk negaranya.
52. Sebab itu, saya berpendirian bahawa pergolakan geo-politik ini
tidak menguntungkan sesiapa. Ini hanya menyebabkan manusia semakin
menderita apabila kehilangan orang tersayang dan dunia pula kehilangan
insan-insan berwibawa.
53. Justeru, kepada keluarga mangsa tragedi MH17, usahlah merasa
bimbang, kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak
berhenti mencari kebenarannya. Sesukar dan sepayah mana pun, keadilan
yang dituntut, pasti akan kita kembalikan kepada keluarga mangsa.
Tuan Yang Dipertua,
54. Sesungguhnya jua, let us walk through this difficult time
together. Marilah kita jalani tempoh-tempoh dan waktu-waktu yang payah
ini bersama-sama, bersatu dalam kesedihan. Moga-moga yang Maha Berkuasa
memberi bantuan dan pencerahannya agar ada cahaya penyelesaian di
hujung.
55. Atas segalanya, sempena keberkatan dan hari-hari akhir ramadan
al-mubarak ini, banyakkanlah berdoa dan berharap agar Allah SWT memberi
bantuan serta pertolongan, dalam ikhtiar-ikhtiar kita mencari
penyelesaian. Mengambil iktibar mafhum pengertian surah Al-Insyirah,
pada setiap kesukaran itu pastinya ada hikmah-hikmah menanti yang telah
ditetapkan oleh Maha Pencipta. Dalam segala kudrat manusia, kepada Allah
kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan segala urusan.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.