Minyak Masak Untuk Aidilfitri Cukup Di Kedah - Dr Ku Rahman

ALOR SETAR - Bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi untuk menampung keperluan pengguna bagi menghadapi musim perayaan tidak lama lagi.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata pinjaman kuota 10 peratus yang diberikan kepada pengeluar minyak masak dalam bungkusan plastik mampu meningkatkan bekalan untuk edaran seluruh negeri.

Menurutnya, bekalan minyak masak sepanjang perayaan Aidilfitri akan bertambah kira-kira 250 metrik tan yang menjadikannya 2,700 metrik tan sebulan berbanding 2,514 metrik tan sebelum ini.

"Untuk Julai atau musim perayaan ini, pengeluar minyak masak diberi pinjaman kuota pengeluaran bahan keperluan itu oleh  Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi (MPIC). Contohnya mereka ambil kuota bulan September dan ini tak akan menimbulkan masalah kepada pengguna apabila kuota ditolak semula.

"Namun jika ada yang cakap minyak masak tak cukup, itu adalah kerana ramai pengguna yang menyukai jenama tertentu yang terlalu cepat habis stok di pasaran, namun ia bukan memberi gambaran kepada kekurangan bekalan minyak," katanya kepada media selepas melawat beberapa kilang pengeluar minyak masak di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bekalan minyak masak menjelang hari raya dan sepanjang bulan puasa mencukupi. Jika ada masalah, perlu maklum segera kepada kerajaan.

Ku Abdul Rahman berkata, walaupun tiada kawalan kuantiti minyak masak dalam pembelian namun pengguna perlu bijak berbelanja bagi mengelakkan sesuatu kawasan kurang atau kehabisan bekalan.

Sumber: Sinar Harian