Muhyiddin Bidas Pedas Pihak Putar Belit Kenyataan 13 Mei


Alor Setar, 10 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas pedas beberapa pihak yang sengaja memutar belit kenyataannya berhubung peristiwa 13 Mei baru-baru ini bagi meraih kepentingan politik murahan dari masyarakat di negara ini.

Menurut Muhyiddin, kenyataannya sebelum ini bukanlah berniat untuk menakut-nakutkan sesiapa, namun bertujuan untuk menyedarkan masyarakat berbilang kaum di negara ini agar terus memelihara keamanan yang dikecapi kini spuaya peristiwa itu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

"Kenyataan saya sebelum ini bukanlah untuk mencetuskan provokasi di kalangan masyarakat di negara ini.

"Tapi ia bertujuan memberi kesedaran untuk penduduk berbilang kaum agar sentiasa mementingkan hubungan di antara kaum dan memelihara keamanan yang sedia ada agar peristiwa 13 Mei tidak akan berulang lagi,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Tahfiz Model Ulul Albab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) pada lewat petang semalam.

Menteri Pelajaran itu menegaskan tindakan kenyataannya itu tidak menjadi satu kesalahan kerana ia dilahirkan atas dasar untuk memberi peringatan pada semua pihak dan bukannya ditujukan kepada kaum tertentu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak tersebut.

Beliau turut kesal apabila segelintir individu sengaja mempolitikkan niat baiknya dengan mengelirukan rakyat berhubung kenyataan tersebut sekali gus menimbulkan salah faham terhadap tujuan utama ucapan itu bagi memberi ingatan kepada semua pihak.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang termasuk penasihat DAP, Lim Kit Siang, mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mengancam keharmonian kaum, kononnya mengingatkan kembali detik-detik berdarah yang menjadi igauan masyarakat yang terlibat dengan peristiwa itu.

Menyifatka putar belit yang dimainkan segelintir pihak berkepentingan itu sebagai "politik sempit", beliau menggesa agar setiap masyarakat di negara ini sentiasa bersatu padu agar keamanan yang telah lama dibina antara kaum di Malaysia sentiasa terpelihara dan menjadi contoh bagi negara-negara luar.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut mengharap agar pelancaran Tahfiz Model Ulul Albab di Kedah dapat membantu para pelajar agar dapat mencapai kejayaan di samping membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

“Menjadi harapan saya dan para pemimpin yang lain untuk melihat setiap murid yang mengikuti pembelajaran Tahfiz Model Ulul Albab, bukan sahaja tahu membaca dan menghafal Al-Quran, tetapi turut mengaplikasikan dan membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

“Semoga generasi yang lahir daripada model pembelajaran ini akan menjadi generasi Ulul Albab yang bergelar jurutera al-hafiz, doktor al-hafiz dan professional al-hafiz,” ujarnya lagi.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan beberapa Exco Kerajaan Negeri Kedah. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor