Muhyiddin Terima Darjah Kebesaran Kedah



ALOR SETAR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Yang Amat Dihormati (SHMS) di Istana Anak Bukit di sini.

Beliau menerima anugerah itu, yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja, daripada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah.

Berkenan berangkat menyaksikan majlis itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama dua anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tuanku Abdul Hamid Thani dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, turut hadir pada istiad at ringkas pengurniaan darjah kebesaran itu bersempena hari keputeraan ke-86 Sultan Kedah.

Turut sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir serta isteri Tok Puan Norzieta Zakaria, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Md Rozai Safian, Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderuddin Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Mohd Puat Mohd Ali.

Kesemua yang hadir pada majlis pengurniaan darjah kebesaran itu kemudian menghadiri majlis berbuka puasa dengan disertai Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri Kedah. – BERNAMA