Sungai Petani, 3 Julai – Seorang wanita
yang menerima sumbangan sempena menyambut Ramadhan berasa teruja kerana berpeluang
melihat dan berjumpa dengan Menteri Besar Kedah, Dato’Seri Haji Mukhriz Tun
Mahathir dari jarak dekat.
“Ini kali pertama melihat Menteri
Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dari jarak dekat.
Itu adalah reaksi pertama salah
seorang penerima sumbangan, Rafeah Ibrahim, 67,yang berasal dari Bukit Selambau
ketika melihat Mukhriz tiba di pekarangan Masjid Taman Baru, Sungai Lalang
semalam.
“Syukur Alhamdulillah menjadi
salah seorang penerima dan sumbangan disampaikan sendiri menteri besar.
Sungguh, ini kali pertama berhadapan dengan beliau,” katanya yang teruja kerana
diberi kesempatan berkenaan.
Salah seorang lagi penerima
sumbangan, Siti Minah Mahmud, 64, yang datang dari Kota Kuala Muda berkata, dia
berasa terharu dapat berjumpa dengan Mukhriz dan menyifatkan anak kepada mantan
Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad itu berjiwa rakyat.
“Terima kasih atas bantuan kepada
kami dan gembira sumbangan disampaikan sendiri dari tangan menteri besar,”
katanya.
Bagi Siti Kamaliah Abdullah, 43,
yang juga merupakan poenerima sumbangan itu berkata, dia berasa sedih ketika
namanya dipanggil untuk menerima sumbangan.
“Terasa hiba kerana diri ini
masih diingati dan ada pihak yang ingin menyampaikan sumbangan. Tambahan pula,
ia disampaikan sendiri Menteri Besar Kedah,” kata wanita itu.
Dalam Perkembangan sama, kerajaan
negeri Kedah turut memberi sumbangan kepada penduduk di sekitar daerah Kuala
Muda seramai 1,365 orang yang terdiri dari golongan guru agama, pengurus
jenazah, bidan serta tok mudim.
Sementara itu, Mukhriz turut
memohon sokongan daripada penduduk di daerah ini supaya menyokong setiap
perancangan yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri termasuklah dalam
pembinaan lapangan terbang dan juga litar lumba khusus untuk kegunaan rakyat
Kedah. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor