Musibah Uji Kekuatan Akidah


Seluruh rakyat Malaysia bersedih di atas musibah yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17, baru-baru ini. Lebih sedih dan duka ialah kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat yang kehilangan orang tersayang.

Sebenarnya inilah yang dikatakan musibah ditakdirkan oleh Allah SWT semata-mata untuk menguji hamba-Nya. Allah SWT menjadikan musibah ini sebagai ujian terhadap hamba-Nya.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Kemudian Allah SWT jelaskan lagi mengenai orang yang sabar itu dalam firman-Nya yang bermaksud:

“(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)
Allah SWT menyatakan setiap hamba-Nya akan diuji dan ujian itu berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Semua itu untuk membuktikan siapakah golongan yang sabar dan taat kepada Allah SWT.

Ujian ketika senang atau susah

Ujian Allah SWT bertujuan melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Allah SWT menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah SWT itu bukanlah sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam berbagai bentuk dan keadaan.

Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara lebih baik.

Sebenarnya di sebalik musibah itu mempunyai hikmah besar, yang mana kita sendiri tidak mengetahuinya. Dengan ketabahan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan menjadi latihan untuk menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.


Sumber : Berita Harian