KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri Umno hari ini melancarkan aplikasi
telefon pintar ‘PUTERI’ bagi memudahkan penyaluran pelbagai maklumat
kepada wanita muda.
Aplikasi itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak yang juga Presiden Umno di sini, turut mengandungi maklumat
mengenai pentadbiran dan pengurusan pergerakan tersebut.
Ketua sayap Mas Ermieyati Samsudin berkata aplikasi itu juga
membolehkan wanita muda menyalurkan pandangan, cadangan dan maklum balas
secara terus kepada pucuk pimpinan pergerakan.
Antara kandungan dalam aplikasi itu ialah maklumat parti, pendaftaran
dalam talian Puteri, rujukan usahawan, gerbang kerjaya dan semakan
daftar pemilih, katanya dalam majlis tersebut.
Menurut Mas Ermieyati antara keistimewaan aplikasi ialah maklumat boleh dimuat turun walaupun tanpa perkhidmatan Internet.
Aplikasi boleh dimuat turun secara percuma menerusi ‘Google Play
Store’, ‘Apple Apps Store’ dan ‘Windows Phone’ melalui telefon pintar
Android masing-masing.
Sementara itu, Perdana Menteri hari ini turut melancarkan program
‘Internship Mahasiswa Turun Parlimen’ (Mantap 4) yang melibatkan 134
mahasiswa tahun akhir yang akan ditempatkan bersama anggota parlimen
Barisan Nasional.
Di bawah porgram itu, semua peserta berpeluang mengikuti aktiviti
harian anggota parlimen terutamanya ketika menjalankan tugas rasmi di
Dewan rakyat.
Program Mantap 4 akan berlangsung selama sebulan setengah bermula 22 Sept depan. – BERNAMA