Najib Tegas Mahu Jenazah Mangsa #MH17 Dibawa Pulang Sebelum Aidilfitri

Kuala Lumpur - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau mahu semua jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dibawa pulang sebelum hari raya ini.

"Kita hendak sebelum hari raya ini, mangsa itu dapat dibawa keluar.

“Mereka yang sudah dikenal pasti identitinya oleh kerajaan Malaysia akan dibawa balik ke tanah air supaya boleh disemadikan di bumi Malaysia," tegas Najib dalam satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur, semalam.

Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini dijangka jatuh pada 28 Julai dan
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dilaporkan sedang bertungkus lumus cuba memasuki lokasi nahas, namun dikekang pihak berkuasa di sana.

Pesawat Boeing-777 MH17 itu dipercayai ditembak jatuh di wilayah kawalan kumpulan pemisah pro-Rusia di sekitar wilayah Donetsk, Ukraine, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Rusia.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangannya mengenai laporan dari Ukraine yang mendkawa bahawa mayat itu telah diusik oleh kumpulan yang tidak dikenal pasti.

"Kita tak boleh biarkan keadaan di mana mereka boleh dibawa sesiapa sahaja boleh mengalihkan mangsa dan diletak di tempat yang kita tidak ketahui," kata beliau lagi.
 
Pasukan keselamatan Ukraine yang memantau keadaan di wilayah dikuasai puak pemisah itu mendakwa kumpulan militan pro-Rusia itu telah memaksa pekerja kecemasan mereka untuk menyerahkan lebih 196 mayat mangsa tragedi berkenaan yang ditemui setakat ini.

Dalam perkembangan terkini itu juga, media antarabangsa, Associated Press melaporkan bahawa Kiev turut menyatakan bahawa mayat-mayat tersebut telah dimasukkan ke dalam peti sejuk beku sebuah tren dan dibawa ke bandar dikuasai kumpulan pemisah itu. -KedahNews.com