Kuala Lumpur, 10 Julai - Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebuah tempat khas untuk
menempatkan golongan gelandangan di ibu kota dijangka siap dalam tempoh enam
bulan akan datang.
"Ia tidak patut lama...dalam
enam bulan akan siap," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan
secara mengejut aktiviti Dapur Jalanan di sekitar Jalan Tun Perak di sini,
malam Rabu.
Najib berkata, selain menyediakan
tempat tidur pada waktu malam buat gelandangan, tempat khas itu juga akan
dilengkapi kemudahan bilik mandi serta lokar untuk menyimpan barangan golongan
kurang bernasib baik itu.
"Itu yang dia perlu, bukan
flat tapi tempat di mana dia boleh tidur supaya tidak tidur di tepi
jalan," katanya.
Najib turut melahirkan
penghargaan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan sukarelawan khususnya yang
terlibat dalam menyediakan makanan dan minuman serta bantuan kesihatan kepada
golongan gelandangan di ibu kota.
Perdana Menteri yang tiba pada
10.40 malam meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri aktiviti pengagihan
makanan dan minuman oleh sukarelawan Dapur Jalanan, selain turut berjalan kaki
melihat keadaan di sekitar Bangunan Cahaya Suria.
Najib, yang turut ditemani
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul
Karim, meluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa gelandangan yang
tidur di tepi jalan, termasuk di perhentian bas.
Isu gelandangan di ibu kota
menjadi topik hangat kebelakangan ini termasuk
apabila Kementerian Wilayah Persekutuan membuat keputusan melarang Dapur
Jalanan daripada beroperasi dalam lingkungan 2km dari pusat beli belah
terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini, minggu lepas.
Namun, pada Selasa, Tengku Adnan
menarik balik arahan tersebut dan memberi peluang kepada badan bukan kerajaan
(NGO) yang menjalankan aktiviti Dapur Jalanan untuk beroperasi di kawasan itu
sehingga 16 Ogos ini, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.
Sejurus tiba Perdana Menteri
telah meninjau aktiviti sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen yang mengedarkan nasi
berlauk ayam bersama buah epal, kopi O panas, sirap, roti bun, biskut wafer dan
minuman kotak kepada gelandangan, kebanyakannya warga emas di kawasan tersebut.
Najib turut diberi penerangan
mengenai aktiviti Pertiwi Soup Kitchen oleh pengasasnya, Munirah Abdul Hamid.
Ketika mengadakan tinjauan di
sekitar Bangunan Cahaya Suria, Najib turut menegur seorang lelaki warga emas
yang sedang tidur di sebuah perhentian bas dan beliau terkejut apabila
menyedari Perdana Menteri berdiri di sebelahnya.
Najib turut meluangkan masa
hampir 10 minit bertanya khabar kepada bekas pemandu teksi Lim Kim Hua, 63,
yang terpaksa hidup bergelandangan kerana tiada keluarga untuk menjaganya.
Perdana Menteri juga sempat
menjenguk seorang ayah dan anak lelakinya yang berusia kira-kira dua tahun yang
sedang nyenyak tidur beralaskan plastik di siar kaki Jalan Silang.
Najib turut bertanya khabar
dengan satu-satunya wanita yang ditemui tidur di tepi Jalan Silang itu iaitu
Norliza Mat Zain, 42, yang berasal dari Teluk Intan dan datang ke Kuala Lumpur
untuk menemani suaminya mendapatkan pekerjaan.
Bagaimanapun suaminya kini berada
dalam penjara dan bakal dibebaskan sebelum Aidilfitri ini.
Najib juga turut mendengar luahan
hati bekas penjual kereta Tan Yap Heng, 70-an yang mendakwa sudah 20 tahun
hidup bergelandangan berikutan tidak mampu untuk mendapatkan pekerjaan kerana
faktor usia dan pernah dirompak.
Tan memberitahu Perdana Menteri
bahawa setiap kali beliau memohon bantuan dari agensi kebajikan kerajaan,
permohonan beliau sering ditolak kerana beliau tidak mempunyai alamat tempat
tinggal tetap.
Sumber : Mstar
Kredit Video : MyMetro
Kredit Video : MyMetro