Shah Alam, 3 Julai - Kerajaan negeri
Selangor pada Rabu mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji sempena sambutan
Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim berkata pemberian bonus itu melibatkan seramai 17,000 kakitangan
tetap, kontrak serta sambilan dengan peruntukan sebanyak RM32.7 juta.
"Keputusan ini dibuat
berdasarkan peningkatan kutipan hasil negeri sebanyak RM1.162 bilion setakat 30
Jun lepas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.
Dalam perkembangan lain, Abdul
Khalid berkata Jabatan Audit negeri itu akan menjalankan audit terhadap pejabat
Anggota Dewan Undangan Negeri, pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri dan
pejabat Anggota Parlimen Selangor bagi memantau penggunaan peruntukan kewangan
bagi program kebajikan di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Katanya, tujuan audit ini adalah
untuk memudahkan kerajaan negeri menilai keberkesanan program-program kebajikan
yang dijalankan sejak 2008, selain memantau peruntukan yang dibelanjakan bagi
mengurangkan risiko ketirisan.
"Hasil laporan audit ini
akan dihantar kepada Majlis Tindakan Integriti Negeri Selangor untuk dibuat
rumusan dan memperbaiki sebarang kelemahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan
program-program kebajikan ini," katanya.
Sumber : Mstar