KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggesa seluruh umat Islam
supaya sama-sama menghayati semangat Nuzul al-Quran serta bersatu dalam
menegakkan agenda ummah.
Perdana Menteri, dalam perutusan Nuzul Al-Quran yang akan disambut
esok, turut mengajak umat Islam berstrategi dengan matang dan berhikmah
supaya tanggungjawab menjaga agama Islam di bumi bertuah ini dilaksana
dengan sempurna.
“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT,
yang mana hanya dengan izinNya, kita masih lagi dapat bersama dengan
rahmat Ramadan al-Mubarak, seterusnya pada tarikh 17 Ramadan ini, kita
dapat meraikan peristiwa agung Nuzul al-Quran.
“Saya mendoakan supaya dengan keberkatan Nuzul al-Quran pada Ramadan
yang mulia ini, Allah SWT menyatukan hati kita semua. Mudah-mudahan
segala amalan kita diterima oleh Allah SWT jua,” kata Najib dalam laman
Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, Nuzul al-Quran yang merujuk kepada peristiwa turunnya
ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan telah
mengubah dan membina peradaban ummah.
Najib berkata, al-Quran bukan saja dipaparkan indah kaligrafinya,
dialunkan dengan merdu lenggok bacaannya, malah merupakan satu mukjizat
yang terus kekal mendampingi umat Islam untuk diambil petunjuk dan
hidayahnya yang terus relevan sepanjang zaman.
“Sudah tentu Nuzul al-Quran bukan sekadar satu nostalgia sirah buat
kita semua, bahkan penurunan al-Quran ini merupakan satu titik mula
transformasi insani daripada kegelapan jahiliah kepada indahnya sinar
cahaya Islam,” katanya.
Perdana Menteri berkata, al-Quran sememangnya adalah panduan abadi
lagi hakiki buat insan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah melalui
ayat dua surah al-Baqarah: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak
padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia
pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden dan
progresif, sentiasa berusaha untuk membawa kemajuan dan kemakmuran pada
tahap yang terbaik, tanpa mengabaikan didikan kerohanian sebagaimana
yang dianjurkan oleh al-Quran.
“Kita amat percaya bahawa hanya dengan mempunyai warga yang mampu
berdaya saing dan berkualiti, barulah impian kita untuk menjadi sebuah
negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan,” katanya. –
BERNAMA