ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ)Kedah akan melakukan kaedah penyamaran bagi mengenal pasti para
pemandu bas ekspress yang melakukan kesalahan semasa memandu bagi menjamin
keselamatan penumpang dalam Ops Hari Raya Kedah 2014.
Pengarah Negeri, Mohd Fadhil
Hassan berkata, operasi akan dijalankan selama dua minggu bermula 21 Julai
hingga 5 Ogos depan selama 24 jam.
“Kaedah penyamaran sebagai
penumpang dilaksanakan bagi mengekang kesalahan seperti merokok mahupun
menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu bas ekspres.
“Malah, pihak kami tidak
ketinggalan akan menguatkuasakan penyamaran bergambar untuk memastikan pemandu
tidak memandu secara berbahaya”, katanya semasa berucap dalam Majlis Perjumpaan
bersama pengusaha dan pemandu bas ekspress di Terminal Bas Shahab perdana,
kelmarin.
Mohd Fadli berkata, pihaknya akan
sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantau di 10 depo bas ekspress yang berada
di negeri Kedah untuk memastikan kenderaan tersebut selamat serta mematuhi
piawaian ditetapkan oleh JPJ.
Selain itu, pemeriksaan terhadap
pemandu bas ekspress akan dijalankan di beberapa terminal bas utama disamping
melakukan pemantauan statistik di Kawasan Kerap Kemalangan (KKK).
“Ini kerana, jikalau kemalangan
melibatkan bas, ia membabitkan banyak nyawa. Jadi, kami mengharapkan
penguatkuasaan ini mengurangkan kadar kematian di musim perayaan,” katanya.
Menurut Mohd Fadhli, pihaknya
berharap orang ramai dapat memberi kerjasama agar matlamat operasi tercapai
bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian sepanjang musim perayaan.
Dalam pada masa yang sama, mereka
turut melarang penggunaan kenderaan berat seperti lori-lori besar dalam tempoh
kemuncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Orang ramai yang ingin membuat sebarang
aduan mengenai kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui talian hotline
JPJ Kedah (07-740 4967) ataupun laman web aduantrafik@jpj.gov.my
Turut hadir semasa Majlis
Perjumpaan kelmarin ,Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Nik
Ahmad Syazwan Nik Azman. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor