Orang Ramai Berebut Kutip Ikan Patin "Babi"

Penulis blog yang bertanggungjawab menyebarkan insiden ikan patin "babi" di Ipoh, Mohd Khirul Adnan Hamid mendakwa melihat orang ramai berebut-rebut mengutip ikan dari kolam tersebut ketika ia pecah dan melimpah.

 “Saya nampak ribuan ikan patin di sekitar kawasan dalam dan luar kolam itu sebaik kolam berkenaan pecah dan ketika kejadian berlaku, ramai orang berebut-rebut mengutip ikan itu termasuk masyarakat beragama Islam,” katanya.

Khirul merupakan individu yang memuat naik maklumat serta gambar yang menampakkan tulang haiwan dipercayai babi di laman blog peribadinya dalam kejadian kolam ikan patin pecah di Lahat, pada Ahad lalu.

Terdahulu, Khirul melaporkan bahawa dia memperoleh maklumat mengenai kerosakan paip pecah sehingga menyebabkan air melimpah hingga tebing kolam terbabit runtuh kira-kira jam 2 petang, pada hari yang sama setelah dimaklumkan oleh seorang rakan.

Katanya, ketika kejadian itu orang ramai dilihat mengerumuni kolam itu selepas kesemua ikan ternakan mula kelihatan keluar dari permukaan dasar kolam tersebut.

"Saya difahamkan saliran kolam itu mengalami masalah sehingga menyebabkan air di situ susut hingga menampakkan permukaan dasar tanah. Akibatnya, kesemua ikan di dalam kolam itu jelas kelihatan sekali gus menjadi tumpuan orang ramai.

“Malah, satu saluran turut pecah menyebabkan sebahagian ikan di situ berlambak ke luar kolam,” katanya yang dipetik dari MyMetro, semalam.

Khirul mendakwa dia ada menasihatkan orang awam, khususnya yang beragama Islam, supaya tidak mengambil ikan patin itu untuk makan kerana berdasarkan pemerhatiannya, rangka tulang haiwan yang bersepah di dasar kolam itu dipercayai rangka babi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menegaskan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam memakan ikan yang diberi makan bangkai babi tanpa dikuarantin selama tiga hari.

Beliau berkata, ikan seperti itu hanya boleh dimakan jika tempoh kuarantin berkenaan dilakukan termasuk diberi makan makanan lain sepanjang tempoh itu. -KedahNews.com