Pakaian Bertulis Ayat Al-Quran: Dr Maza Mohon Umat Islam Jangan Cepat Melatah

Alor Setar - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin memohon supaya umat Islam di Malaysia tidak cepat melenting berhubung insiden penggunaan ayat Al-Quran pada pakaian yang sedang hangat diperkata sejak kebelakangan ini.

Bekas Mufti yang sering terpalit kontoversi itu sebaliknya meminta supaya umat Islam memahami bahawa mungkin pihak yang mengenakan pakaian bertulis ayat Al-Quran itu tidak tahu dan tidak bermaksud untuk menghina Islam.

"Mereka yang tersalah menggunakan ayat-ayat al-Quran itu MUNGKIN tidak bermaksud menghina tapi tidak tahu adab-adab yang sewajarnya. 

"Jangan tergopoh menganggap mereka itu musuh Islam ataupun ingin menghina Islam," katanya yang dipetik dari akaun laman sosial Facebook miliknya, baru-baru ini.

Dr. Maza turut menjelaskan sebuah hadis sahih yang menceritakan tentang pendekatan Rasulullah SAW dalam menghadapi insiden yang beliau sifatkan hampir serupa.

"Dalam hadis yang sahih ada seorang badawi yang kencing dalam masjid Nabi s.a.w. Para sahabat bangun untuk bertindak ke atas badawi tersebut. Nabi s.a.w melarang mereka mengasarinya sambil bersabda: "Kamu diutuskan untuk memudahkan bukan menyusahkan". 

"Nabi s.a.w menyuruh disimbah air di tempat kencing tersebut. Baginda kemudiannya memanggil badawi itu dan menerangkan kepadanya tujuan masjid dibina. Ini menyebabkan badawi mendoakan kepada baginda agar dirahmati," jelasnya lagi.

Media sosial baru-baru ini kecoh mengenai tindakan seorang lelaki Islam yang menegur seorang wanita Korea yang mengenakan pakaian bertulis ayat-ayat suci Al-Quran yang dianggap menghina Islam.

Ekoran insiden itu mencetus kekecohan dan mendapat liputan meluas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya mula menyiasat kes seorang wanita tersebut pada Ahad lalu. - KedahNews.com