KUALA LUMPUR - Dua pakar ekonomi menasihati pekerja-pekerja Malaysia Airlines (MAS) supaya memperbetulkan keutamaan mereka untuk membolehkan syarikat penerbangan nasional itu berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini.
Dr Yeah Kim Leng, Dekan Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia yang juga mantan Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan RAM Holdings, berkata tuntutan kesatuan-kesatuan supaya eksekutif pengurusan tertinggi syarikat itu meletakkan jawatan merupakan satu gangguan dan boleh menjejaskan sebarang cadangan rancangan penyusunan semula.
"Pertama, soal ini tidak harus dipolitikkan dan dibuat sebagai keputusan komersial semata-mata. Jadi, semakin kurangnya campur tangan politik, semakin kurangnya pertimbangan politik, semakin baik bagi MAS dalam melaksanakan rancangan penyusunan semula yang lebih baik dan berdaya maju dari segi komersial," tegasnya.
Sementara itu, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin dari Universiti Utara Malaysia berkata tiada gunanya kesatuan-kesatuan sekerja itu menuntut untuk menemui Perdana Menteri tanpa sebarang rancangan konkrit untuk memulihkan syarikat penerbangan yang mempunyai kakitangan yang berlebihan itu.
Katanya beliau tidak faham apakah peranan yang dimainkan oleh kesatuan-kesatuan ini dalam keadaan syarikat menghadapi masalah kewangan yang berat, kerana daripada apa yang mereka tonjolkan, mereka seolah-olah bukan 'musuh' tetapi bukan juga 'kawan'.
Kata beliau semasa Japan Airlines (JAL) menghadapi masalah kewangan seperti MAS, para pekerjanya berdiri teguh di belakang pihak pengurusan dan hasilnya ia muncul lebih kukuh dan lebih menguntungkan.
Dr Amir Hussin berkata aktivisme dan permintaan yang tidak munasabah semasa pasaran kereta lemah, adalah sebab-sebab utama General Motors (GM), syarikat pembuat kereta yang berusia 100 tahun dan pada suatu ketika dahulu merupakan pembuat kereta terbesar di dunia, menjadi muflis pada tahun 2008.
Beliau juga menyebut apa yang berlaku kepada Delta Airlines, satu lagi syarikat Amerika, sebagai pengajaran yang harus dijadikan iktibar oleh kesatuan-kesatuan gabungan MAS.
Di saat Delta Airlines tenat seperti MAS, inisiatif pertamanya diambil oleh pekerjanya, termasuk juru terbang, yang merelakan gaji mereka dipotong, dengan gaji CEOnya dikurangkan sebanyak 35 peratus, katanya.
"Ini sepatutnya menjadi langkah sementara sehingga syarikat itu dapat mengatasi masalahnya, tetapi tenaga kerjanya terus sanggup menerima gaji yang kurang, asalkan mereka dapat mengekalkan pekerjaan masing-masing. Dan sejak 2006, Delta Airlines menjadi semakin kukuh dan meraih keuntungan yang lebih tinggi," kata Amir Hussin.
"Jadi, jika kesatuan-kesatuan sekerja MAS yang berhasrat menemui Perdana Menteri itu sanggup gaji mereka dipotong dan melepaskan bonus mereka selama lima tahun akan datang, saya rasa Perdana Menteri akan berbesar hati menemui mereka.
Jika tidak, lupakan sahaja, tiada apa pun yang akan selesai.
"Tanpa pekerja dan pengurusan mencapai kata sepakat, mungkin inilah kali terakhir kita perlu bercakap tentang MAS," tegas beliau. -Bernama