PAS Bukan Militan: Siapa Pula Lotfi, Ibrahim Libya dan Nik Adli? #KDN


Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, baru-baru ini mendakwa wujud pihak yang tidak bertanggungjawab yang kononnya cuba mengaitkan partinya dengan gerakan militan Islam untuk menakut-nakutkan rakyat bukan Islam di Malaysia.

Kenyataan tersebut kemudiaannya disambut oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang mahu institusi pondok dipantau supaya tidak dicemari dengan kegiatan militan.

Ahmad Tarmizi dalam kenyataannya kepada laman berita rasmi PAS, Harakahdaily, menuduh Mashitah memfitnah institusi pondok tanpa sebarang asas yang kukuh.

"Apa yang dituduh oleh Dr Mashitah ini adalah fitnah yang sangat besar, yang beliau sendiri tidak boleh mengemukakan bukti dengan cara yang lengkap," katanya yang dipetik dari laman berkenaan.

KedahNews.com bersetuju dengan kenyataan Suhaizan yang menafikan penglibatan PAS di dalam kegiatan militan. Ini adalah kerana PAS merupakan sebuah parti politik di Malaysia dan bukannya sebuah kumpulan pengganas militan.

Begitu juga dengan kenyataan Ahmad Tarmizi, sememangnya kenyataannya itu benar memandangkan institusi pondok merupakan pusat pengajian agama secara tradisi di negara kita dan bukannya pusat merekrut pengganas.

Secara hakikatnya, memang benar PAS dan instistusi pondok jelas tidak terlibat dalam sebarang kegiatan pengganas atau militan.

Bagaimanapun, memang terdapat beberapa aktivis dan pemimpin PAS yang pernah terlibat dengan kegiatan ekstrimis yang bersifat militan dan bertindak ganas cuba membunuh serta mencederakan pihak lain.

Terkini, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas Pusat merangkap Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah, Mohd Lotfi Ariffin mendapat liputan luas dari media apabila memuat naik beberapa gambarnya di Syria menerusi laman Facebook, memakai pakaian tentera dan bersenjata.

PAS Kedah mengetahui status Mohd Lotfi pada April lalu, namun tidak memecat keahliannya.

Mohd Lotfi hanya dipecat keahliannya oleh PAS pada 11 Mei lalu setelah mendapat pengesahan tentang keterlibatan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah itu dalam aktiviti militan di negara bergolak tersebut.

Mohd Lotfi juga merupakan bekas AJK Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa) dan juga antara salah seorang pengasas yang menubuhkan Madrasah Nurul Hidayah, Pondok Pengajian Islam, Kampung Tembak, di Kuala Ketil.

Sehingga September 2013, terdapat 76 buah institusi pendidikan agama (SMI/SRI/Tahfiz/Sekolah Pondok/Pondok/Sekolah Pemulihan/Sekolah Integrasi) bergabung bawah Hesa yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Ahmad Yahya, yang juga salah seorang pemimpin PAS Kedah.

Sekiranya dirujuk pada sejarah peristiwa berdarah Memali, di Baling, Kedah, Ibrahim b. Mahmood atau Ibrahim Libya juga merupakan seorang pemimpin PAS yang pernah menjawat jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Arwah yang meninggal dunia akibat  melawan dengan senjata terhadap tindakan pihak berkuasa yang cuba menahan Ibrahim dan pengikutnya ketika itu juga merupakan seorang pengasas pondok Madrasah Islamiah Diniah, di Baling. 

Anak lelaki Mursyidul Am PAS, Nik Adli Nik Abdul Aziz juga pernah ditahan di bawah akta ISA kerana disyaki terlibat dalam gerakan militan di Afghanistan suatu ketika dahulu dan kemudiannya dibebaskan.

Benar. PAS dan istitusi pondok tidak terlibat dengan kegiatan atau gerakan pengganas, militan atau kumpulan ektrimis. Mungkin yang terlibat di dalam kegiatan subversif bersenjata dan merbahaya itu hanyalah individu di dalam PAS, serta kebetulan terlibat aktif dengan beberapa pondok di negara kita.

Persoalannya, bagaimana hendak mengekang penularan ideologi ekstrim, gerakan militan atau subversif bersenjata di dalam PAS dan institusi pondok? 

Apakah PAS dan institusi pondok di Malaysia boleh memastikan dan menjamin seluruh ahlinya tidak terlibat dengan gerakan militan? Mampukah PAS dan mudir-mudir pondok membuktikan mereka 100 peratus mampu mengawal ideologi ekstrim itu di dalam institusi masing-masing? 

Mungkin PAS dan institusi pondok boleh memecat atau buang ahlinya yang terlibat dengan gerakan pelampau itu seperti nasib Mohd Lotfi. Namun dari mana pula individu seperti Mohd Lotfi, Ibrahim Libya dan Nik Adli mendapatkan tarbiyah? 

Atau PAS gagal mentarbiyah ahlinya? Dan apakah salah jika pihak berkuasa "menolong" PAS dan institusi pondok untuk memantau ahli-ahlinya agar tidak terpesong menjadi militan dan terjebak dengan kegiatan subversif sebagaimana yang dicadangkan Mashitah itu? Wallahu'alam... -KedahNews.com