PAS Kedah VS PAS Pusat: Siapa Yang Bohong?

Terdapat percanggahan yang sangat ketara diantara kenyataan Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berbanding kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali, berhubung status bekas Ketua Penerangan Dewa Ulama PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin.

KedahNews.com tidak tahu siapa yang berbohong dalam hal ini sama ada Muhammad Sanusi atau Mustapa, namun kedua-dua pihak seolah-olah cuba menjaga nama baik parti politik itu mengenai Mohd Lotfi yang dianggap sebagai militan itu.

Percanggahan itu bukan saja melibatkan status keahlian Mohd Lofti di dalam PAS, malah ia juga melibatkan pendirian parti itu terhadap perjuangan bersenjata ahlinya di Syria yang dianggap sebagai pengganas militan.

Pada April lalu, Ketua Penerangan PAS Kedah itu menegaskan PAS tidak pernah memecat keahlian Mohd Lotfi sebagai ahli Pas kawasan Baling berikutan tidak melakukan perkara yang melanggar perlembagaan parti itu.

Menurutnya, Mohd Lotfi dihormati kerana berpegang kepada niat sucinya memburu syahid dan berani mengotakan matlamat hidupnya untuk bergelar syuhada.

"Saya percaya beliau bukan ahli militan yang didakwa menjalani latihan ketenteraan konon untuk mencetuskan keganasan di dalam mahupun luar negara,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian sebelum ini.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan bahawa Mohd Lotfi sudah meletakkan semua jawatannya dalam sayap parti itu sebelum ke Syria.

“Beliau mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan di Syria selepas melepaskan semua jawatan dalam parti, sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat. 

"Pemergiannya ke Syria tidak dimaklumkan kepada PAS, hanya diketahui melalui maklumat dalam laman Facebook miliknya,” jelas Ketua Penerangan PAS Kedah itu.

Bagaimanapun kenyataan itu bercanggah dengan PAS Pusat yang menegaskan telah memecat Mohd Lotfi pada 11 Mei lalu setelah mendapat maklumat dan mengesahkan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah itu ke Syria untuk menyertai peperangan melalui satu kumpulan yang dikatakan berjihad di sana.

"Kita mendapat maklumat itu sebelum ini dan menyiasatnya. Setelah sah, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 11 Mei lalu membuat keputusan memecat beliau.

"Cuma ketika itu kita tidak memaklumkan perkara ini kepada media," kata Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali yang dipetik dari The Malaysian Insider.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin turut meluahkan rasa kesal kerana ada rakyat Malaysia yang mudah terpesong dengan maksud jihad sehingga sanggup menggadai nyawa untuk memusnahkan negara Islam lain dan mencederakan umat Islam di negara itu.

"Kalau kita pergi berjihad mempertahankan agama kita itu baru jihad, tapi kalau kita pergi berjihad dan berperang sesama saudara Islam itu yang salah.

"Ramai yang menyalah erti fahaman jihad itu sendiri, malah kita tidak pasti peperangan itu bertujuan untuk apa," katanya yang dipetik dari Bernama baru-baru ini.

Katanya,  perbuatan mencederakan saudara sesama Islam termasuk melalui kegiatan militan tidak boleh ditafsir sebagai jihad kerana tindakan itu bercanggah dengan ajaran Islam dan hukumnya berdosa.

Beliau juga melihat campur tangan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara bergolak terbabit sebagai tidak perlu kerana negara berkenaan adalah negara berdaulat dan pertikaian boleh diselesaikan tanpa pertumpahan darah. -KedahNews.com