Alor Setar, 23 Julai – Pas Kedah menyarakankan Syarikat Penerbangan
Malaysia Airlines (MAS) agar terus memansuhkan hidangan arak terdapat dalam
pesawat serta mengkaji semula etika pemakaian peramugari yang dilihat
bercanggah daripada ajaran Islam.
Ketua Penerangan Pemuda Pas
Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, MAS perlu mengambil iktibar daripada dua
insiden yang terjadi membabitkan dua pesawatnya iaitu kehilangan MH370 dan terbaru nahas MH17, adalah satu peringatan
daripada Allah SWT.
Ahmad Tarmizi berkata, semua yang
terjadi adalah ketentuan daripada Allah SWT namun jika dinilai dari sudut
keagamaan, kedua-dua insiden ini berkemungkinan satu peringkatan daripadaNya di
atas segala perbuatan yang berlaku di dalam pesawat.
“Sebagai syarikat penerbangan
sebuah negara Islam, saya kesal kerana hidangan arak tidak pernah cuba
dimansuhkan termasuk aspek Islamik seperti aurat pekerja wanita serta pakaian
yang disifatkan tidak mengikut landasan syarak.
“Apabila kita menaiki pesawat
MAS, penumpang tidak merasai seperti pesawat itu dikendalikan sebuah negara
yang saban tahun menganjurkan musabaqah al-Quran malah menjadi johan saban
tahun dalam taranum.
Perkara ini amat mengecewakan
kerana ayat-ayat al-Quran yang dialunkan mengandungi banyak hukum berkenaan
arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan ALLAH SWT,” katanya.
Tambah Ahmad Tarmizi lagi, dalam
firman Allah SWT berkata, “Mengabaikan perintah mengharamkan arak serta
perintah menutup aurat ertinya menolak sebahagian isi kandungan kitab al-
Quran. Firman ALLAH, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat)
dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang
berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan
pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. ALLAH
tidak lengah dari apa yang kamu lakukan (QS Al-Baqarah 85),” katanya lagi.
Sebelum ini, bekas Mufti Perlis,
Dato’ Asri Zainul Abidin pernah menegur kerajaan secara terbuka berhubung
penjualan arak dalam pesawat MAS selepas berlakunya insiden kehilangan MH370
pada Mac lalu.
Ketua Pemuda Pas ini juga
berkata, teguran ini dibuat daripada suara rakyat yang cintakan Islam dan bukan
berniat untuk mengutuk atau mempersendakan insiden yang berlaku baru-baru-baru
ini.
“Teguran ini adalah daripada suara rakyat yang
cintakan Islam. Mac lalu kita dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat
MH370, kini pesawat MH17 pula dilaporkan terkena tembakan ‘syubhah’ sama ada
Rusia mahupun Ukraine.
“Kami berasa sedih dan simpati
kepada keluarga mangsa. Sudah tiba masanya kerajaan dan MAS melihat yang
menimpa mutakhir ini dari sudut paling asas iaitu unsur ketuhanan dan
kehambaan,” tambahnya lagi. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor