PDRM Mahu Masyarakat Hubungi Pihak Berkuasa Untuk Dapatkan Maklumat


Kuala Lumpur, 2 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan laporan khabar angin mengenai satu sindiket yang terlibat dalam rompakan dan pembunuhan beberapa wanita di sekitar Kuala Lumpur.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Datin Asmawati Ahmad berkata, berita mengenai khabar-khabar angin seperti itu kini dilihat semakin berleluasa di laman-laman sosial seperti Facebook, WhatApps serta Twitter dan menegaskan kesemua itu adalah tidak benar.

“Hebahan mengenai insiden yang melibatkan beberapa wanita dirompak dan ditikam sehingga mendatangkan kematian di Puduraya, Bukit Bintang dan KLCC oleh satu sindiket adalah tidak benar.

Maklumat palsu ini pernah disebarkan pada Julai 2012 dan kini ia kembali dihebahkan bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dikalangan orang ramai. Hasil siasatan mendapati, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu di sekitar ibu kota,” tegasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Asmawati berharap masyarakat tidak akan mudah percaya dengan khabar-khabar angin seperti itu dan mahu orang ramai menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian sekiranya mendapat apa-apa berita dari sumber ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor