Pegawai Tourism Pukul Anak Di Sweden Telah Dibebaskan

Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin yang dipenjara di negara itu kerana memukul anaknya telah dibebaskan oleh pihak berkuasa negara tersebut semalam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi pada semalam mengesahan laporan berkenaan kepada media.

"Pegawai Wisma Putra dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membawa balik Azizul ke kedutaan kita di sana. Pada masa yang sama, kita juga memohon supaya Azizul dapat bertemu dan melawat Shalwati (isterinya) secepat mungkin.

"Ini kerana dijangkakan pada 15 Julai ini, Azizul akan pulang ke Malaysia," jelasnya.

Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan telah menjalani hukuman tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal bagi kesalahan itu, namun hukuman penjara  masing-masing dikurangkan dan mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Bagaimanapun isterinya, Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi.

Empat anak pasangan itu yang pada mulanya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam kerana kes berkenaan, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sini pada 30 Jan lepas setelah tiba di tanahair sebelum diserahkan di bawah jagaan ibu dan bapa saudara mereka di Kelantan.

Hamzah berkata kes itu tidak menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Sweden sebaliknya kerjasama semakin erat dan kukuh antara kedua-dua negara. -KedahNews.com