Pekan Rabu Dibina Semula November Ini..!

ALOR SETAR – Pembinaan semula Kompleks Pekan Rabu bernilai RM53 juta di sini akan bermula mengikut jadual pada November ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek.

Hasan berkata, projek membina semula Pekan Rabu merupakan inisiatif Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad (KPRASB) untuk menyediakan sebuah kompleks perniagaan moden bagi keselesaan para peniaga serta pengunjung.

“Ciri-ciri keunikan konsep asal Pekan Rabu akan dikekalkan dan pihak kami memberi jaminan peniaga asal akan dapat masuk semula ke kompleks baharu, malah ruang niaga akan bertambah, jadi akan ada peniaga baharu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pekan Rabu, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat 277 peniaga yang menjalankan pelbagai jualan seperti makanan, kuih dan pakaian tradisional, tukang jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah serta produk industri kecil dan sederhana (IKS).

“Objektif utama projek ini adalah untuk menyediakan ruang niaga yang mencukupi dan selesa bagi peniaga-peniaga dan pengunjung Pekan Rabu serta kemudahan pentadbiran koperasi. Ruang letak kereta bawah tanah yang mempunyai 216 lot akan dibina,” katanya.

Hasan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah meluluskan permohonan tanah daripada koperasi seluas 5,062 meter persegi di tapak lama di Jalan Tunku Ibrahim, di sini untuk pembinaan kompleks berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan semula kompleks Pekan Rabu dijangka meningkatkan purata perolehan koperasi sebanyak 6 peratus iaitu RM720,000 setahun sekarang kepada RM760,000 setahun.

“Peningkatan purata sebanyak 20 peratus jumlah jualan harian peniaga-peniaga, sekarang RM280,000 sehari kepada RM336,000 dan jumlah pengunjung juga dijangka meningkat 30 peratus (hari biasa: 300 orang, cuti/perayaan: 1,000 orang),” katanya.

Beliau berkata, jumlah bilangan kedai dalam kompleks baharu adalah 183 unit kedai besar, kedai kecil (100), kedai makan (24) dan kiosk (48).

Sementara menunggu pembinaannya siap, peniaga sedia ada akan ditempatkan di bangunan Ukir Mall di sini dan mereka dijangka berpindah pada 1 Ogos ini, kata Hasan.

“Pembinaan semula kompleks Pekan Rabu adalah sesuatu yang sensitif kerana ia menyentuh sensitiviti rakyat Kedah, tapi kita lakukan ini untuk kebaikan semua, kita akan uruskan sebaik mungkin,” katanya. – BERNAMA