ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), Mergong di sini meninggal dunia
ketika bertadarus al-Quran di sekolah itu bersama pelajar lain pagi
Rabu.
Mangsa Ku Mohammad Iqbal Ku Md Akhir, 14, dari Kampung Alor Buluh,
Lorong Liku, Jalan Datuk Kumbar di sini meninggal dunia 7.35 pagi dalam
surau sekolah itu.
Penolong Kanan Kokurikulum SMKAK Johari Jaafar berkata Mohammad Iqbal
sedang bertadarus al-Quran bersama pelajar lain dan tiba-tiba rebah
serta tidak sedarkan diri.
"Sekolah menghubungi ambulans untuk memeriksa Mohammad Iqbal dan
disahkan oleh kakitangan perubatan bertugas yang dia telah meninggal
dunia," katanya ketika dihubungi di sini.
Johari berkata tadarus al-Quran merupakan rutin harian pelajar
sekolah itu sempena bulan Ramadan sebelum memulakan sesi pembelajaran
seperti biasa.
Abang mangsa, Ku Muhammad Luqman, 22, berkata pihak sekolah
menghubungi ayahnya Ku Md Akhir Ku Hamid, 49, memaklumkan perkara itu
7.50 pagi tadi sebelum ibunya Fatimah Ahmad, 51, pergi ke sekolah untuk
melihat keadaan adiknya.
Katanya jenazah adik bongsu daripada lima beradik itu akan
dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Gelam di sini selepas
solat Asar.
Jenazah mangsa sebelum itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)
di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan
mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan masih menunggu laporan
bedah siasat.
Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata pihaknya masih menunggu keputusan ujian makmal untuk mengenal pasti punca kematian.
Sumber: Mstar