Pelik: Penumpang #MH17 Maut Sebelum Berlepas?



Ketua gerakan pemisah Ukraine yang pro-Russia mendakwa kemungkinan besar penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 sudah pun meninggal dunia sebelum pesawat berkenaan berlepas dari Amsterdam, Belanda lagi.

Biarpun bunyi dakwaan itu agak pelik, bagi pemimpin itu, Igor Girkin (gambar) yang dilaporkan laman web Straits Times berkata beberapa pihak yang berada di lokasi nahas mendapati sebahagian besar mayat dilihat sudah pun meninggal dunia agak lama.

Dia berkata sedemikian dalam satu kemaskini laman sosial Facebook versi Russia iaitu Vkontakte (VK) yang juga laman sosial kedua terbesar di Eropah selepas Facebook.

Menurut pihak berkenaan, mayat-mayat itu dilihat sudah kehilangan banyak darah dan sudah mula mereput.

Girkin yang juga merupakan seorang bekas ejen perisikan tentera Russia bagaimanapun tidak mengesahkan maklumat terbaru itu.

Pesawat MH17 jenis Boeing 777-200 ketika kejadian sedang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol dan dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Russia semalam.

Daripada maklumat awal, pesawat itu dikatakan telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu jenis permukaan ke udara BUK, oleh puak pemisah pro-Russia.

Kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal, telah terbunuh. 

Sumber: Mynewshub.my