Pemimpin PAS Kedah Suruh PKR Betulkan Sistem Pemilihan

Pemimpin PAS Kedah, Zulkifli Yahya meminta Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya betulkan sistem pemilihan parti itu yang disifatkan sebagai melampau dan melebihi batas-batas demokrasi yang selama ini dilaungkan pada rakyat.

Katanya, pemilihan PKR yang melampau sehingga berlakunya insiden baling kerusi dan membabitkan pergaduhan fizikal berdarah itu tidak lagi layak digelar berpolitik, sebaliknya lebih sesuai disifatkan sebagai berperang.

"Jika pertikaian sudah sampai ke tahap berbaling kerusi, pukul memukul secara fizikal sehingga berdarah-darah maka ia bukan lagi ‘berpolitik’ tapi namanya berperang," katanya yang dipetik dari laman blognya, Zulya Nota Utara.

Zulkifli yang juga merupakan bekas Pengarah Urusetia Penerangan PAS Kedah sebelum ini juga menggambarkan "peperangan" di dalam PKR itu sebagai melebihi batasan kertelaluan dan tidak sepatutnya berlaku di dalam parti yang mempunyai ideologi yang sama.
"Peperangan yang berlaku sekalipun antara parti politik yang bermusuhan adalah keterlaluan dalam lingkungan demokrasi. Apatah lagi peperangan di dalam satu parti yang memperjuangkan ideologi yang sama di kalangan ahli-ahlinya. Ia sudah lebih dari keterlauan," kata penulis Harakahdaily itu lagi.

Menurutnya lagi, demokrasi sepatutnya memberi ruang pada kebebasan bersuara di dalam PKR dan keganasan yang berlaku di dalam pemilihan parti itu telah mematikan laungan demokrasi di dalam parti tersebut.

"Ini kerana demokrasi memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan peluang kepada suara terbanyak untuk menang. Demokrasi menolak kekerasan atau paksaan. Jika kekerasan yang ‘menang’ bermakna demokrasi kalah," tegasnya.

Pemilihan PKR baru-baru ini dicemari dengan pelbagai insiden keganasan yang melibatkan pergaduhan sesama ahli parti berkonsepkan "adil" itu.

Dilaporkan bahawa siri-siri pemilihan pucuk pimpinan PKR sebelum ini juga tidak pernah aman dan turut menyaksikan perkelahian yang membarah, cantas-mencantas, penyelewengan dan ketidakadilan. -KedahNews.com