Pengemis asing di ibu negara didapati mampu tinggal di hotel tiga
bintang menggunakan hasil sumbangan orang ramai, kata Menteri Wilayah
Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata maklumat itu didapati hasil siasatan beberapa agensi kerajaan ke atas golongan pengemis di bandar raya ini.
Oleh kerana itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas
ke atas pemberi sedekah bagi memastikan sumbangan wang itu benar-benar
diberikan kepada golongan yang memerlukan, katanya.
“Kita tak mahu pengemis di sepanjang jalan. Kita juga nak hentikan
kegiatan sindiket (pengemisan).
Saya tahu ada sindiket yang hantar
budak-budak, (warga) Rohingya dan orang asing untuk dapat duit dan dia
pula jadi tauke,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataannya semalam berhubung tindakan
kerajaan untuk mewujudkan peraturan bagi mendenda pemberi sedekah di ibu
negara bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Jika kita dapat tangkap pemberi sedekah, mereka akan didenda RM150
dan diberikan resit bernombor. Wang itu akan dikumpulkan pihak Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan akan disalurkan kepada golongan
miskin,” katanya.
Tengku Adnan berkata, undang-undang kecil dan prosedur operasi
standard mengenai perkara itu akan diperkenalkan dalam tempoh seminggu
dua lagi.
Tegasnya, mana-mana pihak atau individu yang ingin bersedekah boleh
menggunakan saluran seperti pusat pungutan zakat, majlis-majlis agama
atau persatuan berkaitan untuk tujuan itu.
Bagi tujuan sama, pusat-pusat yang memberi makan kepada golongan
gelandangan juga perlu berpindah dari pusat bandar raya bermula minggu
depan atau bakal didenda dalam usaha membersihkan ibu kota daripada
pengemis dan gelandangan, katanya.
Beliau berkata pusat-pusat itu kini tidak lagi dibenarkan untuk
beroperasi di dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks membeli belah
Lot10 di Jalan Bukit Bintang.
Tengku Adnan juga berkata pihaknya telahpun mendapatkan pekerjaan
untuk golongan gelandangan dan pengemis ini, tetapi mereka ini didapati
“malas” dan enggan meneruskan kerja yang telah diberikan.
Selain itu, usaha kementerian untuk mewujudkan pusat perlindungan
untuk golongan itu didapati akan menyebabkan mereka rasa puas dan tidak
mahu bekerja, katanya.
“Imej bandar raya ini sangat buruk. Jika kita tidak ambil tindakan
itu, masyarakat akan menjadi tidak berdisiplin,” jelasnya apabila
ditanya sama ada beliau terlalu tegas dalam keputusannya kali ini.
Tengku Adnan turut melahirkan kebimbangan dengan wujudnya komuniti
pengemis dan gelandangan di ibu kota, yang akan menyebabkan masalah
kebersihan yang boleh menggalakkan pembiakan nyamuk aedes dan tikus.
Kementerian melalui DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan pelbagai agensi berkaitan untuk melaksanakan
‘pembersihan’ itu, katanya. – BERNAMA