Kematian seorang wanita warga emas berusia 100 tahun, Eisha di Jeddah
baru-baru ini membawa kepada pendedahan mengejutkan buat
jiran-jirannya.
Ini kerana Eisha, seorang individu cacat penglihatan yang hanya
bergantung hidup melalui kegiatan mengemis rupa-rupanya menyimpan
kekayaan persis seorang jutawan apabila dia meninggalkan harta berjumlah
SAR3 juta (RM2.5 juta), termasuk empat rumah di Jeddah, barangan kemas
dan syiling emas.
Eisha yang mengemis sejak 50 tahun lalu dilaporkan mati di bilik mandi di rumahnya secara tiba-tiba, baru-baru ini.
Menurut salah seorang jirannya, Ahmeh Al-Saeedi yang membesar bersama
Eisha sejak mereka kecil lagi mengatakan si mati tidak mempunyai ahli
keluarga lain melainkan ibu dan kakaknya yang mana mereka pun bergelar
pengemis sehinggakan aktiviti tersebut berjaya menjadikan mereka kaya
raya dan menyimpan aset seperti orang kaya lain di sana.
"Mereka sentiasa mendapat perhatian dan simpati daripada
masyarakat yang prihatin dengan hidup miskin mereka, terutamanya ketika
musim perayaan hari raya Aidilfitri.
"Eisha pun masih terus mengemis
walaupun selepas kematian ibu dan kakaknya. Eisha hanyalah seorang warga
emas yang buta dan sebatang kara di dunia ini (selepas kematian ahli
keluarganya)," katanya.
Al-Saeedi turut mengakui dirinya tahu mengenai kekayaan yang dimiliki
Eisha hasil daripada kerja mengemisnya dan sebelum ini dia juga pernah
menasihati wanita tersebut untuk berhenti daripada terus mengemis.
“Saya memintanya berhenti daripada mengemis memandangkan dia
sudah mempunyai kekayaan yang cukup mewah tapi dia sentiasa menolak
kerana merasakan hartanya masih tidak mencukupi sekiranya berlaku
sebarang kecemasan di masa hadapan,” katanya lagi.
Harta benda yang ditinggalkan Eisha akan diambil alih oleh pihak
berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut berhubung aset yang dimiliki
pengemis cacat penglihatan itu.
Siapa sangka kan, dengan hanya mengemis sahaja, Eisha boleh bergelar jutawan malah mempunyai aset sendiri pula tu!
Sumber: Mynewshub.my