Pengguna Facebook Nak Tembak Mukhriz Sampai Mati

Kecoh di Kedah sejak Jumaat lalu mengenai seorang pengguna akaun Facebook yang menggunakan nama gelaran Padi Jantan telah memuat naik status bergambar seolah-olah mahu membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Padi Jantan memuat naik sekeping gambar Mukhriz dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Dato’ Syed Unan Masri Syed Abdulah, yang sedang menyarungkan "blazzer" pada Menteri Besar.

Pada status gambar tersebut, Padi Jantan menyatakan bahawa dia sedia menembak mati Mukhriz dan pegawai itu sekiranya ada pihak yang sanggup membekalkannya dengan sepucuk pistol serta peluru, sebelum menembak seorang lelaki Cina, Sonny Ho.

"Jika ada sesiapa yang sanggup bagi aku pistol dan peluru nescaya aku akan tembak mampos dua makhluk ini dulu sebelum aku tembak Sonny Ho si Kafir Harbi... Insyaallah", katanya yang dipetik dari laman akaun milik Padi Jantan itu.

Status tersebut mungkin telah dipadam Padi Jantan dari akaun laman Facebooknya setelah menyedari kenyataannya itu akan "memakan diri".

Menurut beberapa sumber, Padi Jantan merupakan seorang pengamal media sosial pro-UMNO, namun sering menyerang beberapa pemimpin parti itu dan kepimpinan PAS sebelum ini dengan dakwaan yang dangkal serta tidak masuk akal.

Dalam hal status berkenaan, Padi Jantan dikatakan kecewa terhadap Mukhriz kerana tidak mengikut kehendaknya yang mahu Kerajaan Negeri membeli semula tapak tanah Madrasah Salihiah yang dijual oleh Kerajaan PAS Kedah sebelum ini kepada pihak pemaju.

Lelaki berbangsa Cina bernama Sonny Ho yang dimaksudkan Padi Jantan itu dipercayai merujuk pada ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang merupakan pihak pemaju yang membangunkan kompleks membeli belas di tapak madrasah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung status yang dimuatnaik itu kerana ia jelas satu berbaur ugutan.

Ahmad Azhar berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera ke atas pemilik FB tersebut kerana ugutan berkenaan adalah sesuatu yang serius.

"Saya menyedari kenyataan mengancam Menteri Besar dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah itu dalam Facebook semalam (Jumaat).

"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Padi Jantn sebagai pengajaran kepada individu lain agar tidak melakukan perbuatan yang sama," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya mengesahkan pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung kes berkenaan. -KedahNews.com.