Peniaga Di Kedah Buka Kedai Lepas Jam 3 Petang Sahaja, Arahan Exco Kerajaan Negeri


Kuala Nerang, 6 Julai – Restoran atau premis perniagaan yang menjalankan operasi sebelum jam 3.00 petang sepanjang bulan ramadhan akan dikenakan tindakan ditarik balik lesen perniagaan atau disita jika melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, kesemua premis yang menjual makanan perlu menjalankan operasi selepas jam 3.00 petang kecuali restoran francais makanan segera seperti KFC, Pizza Hut dan Mc Donald.

Selain itu, Badrol Hisham juga berkata, sebuah restoran yang berada di Jeti Kuah, Langkawi iaitu Restoran Hameed turut diberikan kelonggaran untuk beroperasi seperti biasa atas faktor pelancongan.

"Restoran ini (Hameed) banyak melibatkan pelancong dan terletak di jeti. Para pengusaha restoran diminta tidak melanggar syarat yang diberikan. Jika ada tindakan tegas akan diambil," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Santai Sahur Jom Tengok Bola di Kampung Baru Tualak di sini awal, pagi Ahad.

Justeru itu, dia meminta pihak berkuasa di negeri Kedah akan memantau setiap premis makanan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan mahu orang awam melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat premis kediaman menjalankan aktiviti seperti perjudian.

"Banyak tindakan perundangan yang boleh kenakan. Kena tengok aduan..kalau ada ambil tindakan.
"Saya rayu kepada masyarakat jika ada premis kediaman digunakan untuk perkara seperti itu, supaya beri maklumat kepada pihak berwajib. Kadang-kadang pihak berkuasa tak tahu.

"Ingin saya jelaskan lesen hiburan dikeluarkan pejabat daerah dan bukan pihak berkuasa tempatan (PBT). Isu ini (mesin judi haram) kini menjadi kerisauan masyarakat terutama di kawasan majoriti orang Islam," katanya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor