Manusia dipilih Allah SWT sebagai
makhluk paling mulia di muka bumi ini menggalas amanah dan tanggungjawab getir
iaitu beribadah kepada Allah SWT serta memakmurkan dunia ini. Justeru, tidak
hairanlah setiap manusia memiliki matlamat dalam meneruskan kelangsungan hidup
di dunia.
Al-Quran sebagai kitab panduan
dan pedoman untuk umat manusia dari awal telah merakamkan pelbagai kisah rutin
hidup yang mengiringi setiap langkah manusia. Namun, ada manusia menjadikan
keseronokan dunia sebagai matlamat hidup.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan (sebaliknya) orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum seperti mana binatang ternakan makan minum sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Surah Muhammad, ayat 12)
Firman Allah SWT:
Dirikanlah solat, berilah zakat dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang sedemikian sifatnya) Dialah sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 77-78)
Di samping itu, al-Quran turut
menyingkap kisah segolongan manusia yang mengejar kekayaan dan meraih sebanyak
mungkin harta dunia yang mengasyikkan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
“Dihiaskan kepada manusia nafsu yang inginkan perempuan, anak pinak, harta benda emas dan perak, kuda, binatang ternakan serta kebun tanaman, semuanya itu kesenangan hidup dunia. Dan (ingatlah) di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)
Suka lakukan kerosakan
Selain itu, terdapat juga manusia
suka melakukan kerosakan di muka bumi dengan menaburkan pelbagai fitnah dan
kejahatan yang boleh mendatangkan mudarat kepada ummah sejagat.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan) Allah menjadi saksi atas apa yang ada di dalam hatinya pada hal dia orang yang keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapatkan hajatnya) berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia) sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 204-205)
Demikianlah gambaran al-Quran
secara umum mengenai persepsi sebahagian besar manusia yang menghuni alam ini
terhadap makna dan hakikat kehidupan. Ini berbeza dengan pandangan orang Islam
terhadap erti kehidupan kerana Islam sebagai al-Din yang lengkap dalam semua
lapangan.
Jambatan menuju akhirat
Orang Islam yang beriman dan
bertakwa kepada Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju
alam akhirat yang kekal abadi. Setiap Muslim sepatutnya menyedari dia memikul
tanggungjawab besar sebagai khalifah Allah SWT untuk menegakkan kalimah Islam.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Rukuk dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhanmu (dengan mentauhidkan-Nya) serta kerjakanlah amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu orang Islam sejak dulu dan dalam (al-Quran) ini supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai kebenaran dan kesalahan). Oleh itu, dirikanlah solat, berilah zakat dan berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, maka (Allah yang sedemikian sifatnya) Dialah sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 77-78)
Demikianlah matlamat hidup
manusia yang telah digariskan Allah SWT kepada manusia mengenai tujuan
kehidupan di dunia bukanlah sia-sia atau permainan semata-mata. Sebaliknya,
penciptaan manusia mempunyai hikmah sebagai khalifah menyampaikan Islam kepada
ummah sejagat.
Sumber : Berita Harian