Pertubuhan Islam Desak Khalid Samad Dilucut Jawatan Segera

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa jawatan Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad dalam kerajaan Selangor dilucutkan serta-merta berikutan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke atasnya.

Pengerusinya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Khalid tidak boleh dibiarkan terus berada dalam organisasi kerajaan Selangor memandangkan kebiadapan beliau atas Sultan Selangor sebelum ini.

“Pihak kami juga ingin mendesak agar satu siasatan dibuat supaya dalang di sebalik semua kenyataan biadab ini dikesan dan dikenal pasti,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media semalam melaporkan, Sultan Sharafuddin bertitah kesal dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Khalid yang mencadangkan kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Titah baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa MAIS itu seolah-olah menunjukkan sikap biadab dan penentangannya kepada kuasa baginda sebagai ketua agama Islam yang mendapat nasihat daripada pihak MAIS berkenaan agama Islam seperti mana termaktub di dalam bawah undang-undang.

Baginda bertitah, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.

Sehubungan itu, Mohamed Hafiz memberi amaran kepada Khalid supaya tidak terus melakukan kebiadaban ke atas institusi agama Islam dan kesultanan Selangor.

Tegasnya, titah Sultan Selangor perlu diambil serius semua pihak kerana menjadi tanggungjawab setiap muslim mempertahankan institusi diraja. 

Sumber: Mynewshub.my