Semporna, 14 Julai – "Jaga anak
kita baik-baik", itu pesanan terakhir Koperal Ar Rajah Jamuan kepada isterinya
sebelum terbunuh dalam serangan hendap penganas di Pulau Mabul pada jam 11.10
malam Sabtu lalu.
Isteri Allahyarham Ar Rajah,
Salamah Amad, 26, berkata, pesanan itu disampaikan oleh suaminya ketika
dihubungi pada jam 10 malam hari kejadian dan berjanji akan kembali ke rumah
pada keesokan harinya.
“Malam tadi juga saya terima
khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami yang mengatakan akan pulang ke
rumah esok.
“Pada 1 pagi, saya terima
maklumat, suami diculik sebelum mengetahui keadaan sebenar yang suami telah
gugur ketika bertempur dengan penceroboh,” katanya kepada pemberita di
kediamannya di Batu 2, Jalan Bubul di sini, semalam.
Salamah berkata, dia reda dengan
kehilangan suaminya yang terkorban dalam kejadian itu dan berharap pihak
berkuasa akan segera menangkap kesemua pengganas untuk dijatuhkan hukuman yang
setimpal dengan perbuatan jenayah yang mereka lakukan.
“Saya kini hanya mampu mendoakan
dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam nada
sendu.
Dalam serangan yang berlaku pada
malam Sabtu lalu, sekumpulan pengganas telah bertindak melakukan serangan
hendap ke atas sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna Sabah.
Pengarah Operasi Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata,
serangan yang dilakukan oleh sekumpulan pengganas itu dipercayai menggunakan
senjata berat sehingga mengorbankan seorang anggota marin manakala seorang lagi
telah diculik oleh mereka.
Menurut Abdul Rashid, seorang anggota
marin berpangkat koperal, Ar Rajah Jamuan, 32 ,telah meninggal dunia dalam
kejadian tembak menembak itu manakala rakannya, Konstabel Zakia Aliep, 26,
dipercayai telah diculik oleh mereka.
Allahyarham Koperal Ar Rajah
Jamuan yang berasal dari Semprna pernah bertugas di Kampung Acheh,Perak selama
setahun sebelum berpindah ke Balai Polis Pulau Mabul sebagai Jurumudi Kapal
Rondaan Air 1.
Allahyarham dijangka dikebumikan
sebelum solat Zohor hari ini dalam upacara penghormatan pasukan polis di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Kebun Bunga Jalan Batu 3, di sini. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor