Alor Setar - Pesawat Air India Dreamliner (AI Dreamliner) dilaporkan hanya berada kira-kira 90 saat dari kedudukan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas dipercayai ditembak pengganas pro-Rusia di Ukraine baru-baru ini.
Memetik dari The Times Of India, pesawat milik syarikat penerbangan India itu terbang dari Delhi menuju ke Birmingham berada pada jarak 25 kilometer sahaja ketika kejadian berlaku.
"AI Dreamliner berada kira-kira 25 kilometer dari pesawat Malaysia ketika ditembak peluru berpandu. Apabila juruterbang menyedari punca tragedi (MH17) itu, mereka sangat terkejut.
"Ia seolah-olah berdiri di sebelah individu yang ditembak penembak tepat, "kata sumber dari syarikat penerbangan tersebut.
Ekoran itu, pengawal trafik udara Ukraine telah meminta agar pesawat AI Dreamliner tersebut supaya menghubungi juruterbang pesawat MH17 memandangkan pesawat MAS itu gagal dihubungi pegawai dari pusat kawalan trafik berkenaan.
Beberapa minit sebelum MH17 ditembak peluru berpandu anti-pesawat, juruterbang AI Dreamliner itu juga sempat mendengar arahan dari pusat kawalan udara Ukraine kepada pesawat MH17 untuk meneruskan jalan udara yang diberikan.
Kebenaran dari pusat kawalan udara Ukraine untuk MH17 meneruskan jalan udara yang diberikan itu akhirnya berakhir dengan tragedi yang menggemparkan seluruh dunia.
Badanbertanggungjawab untuk menyelia kawalan trafik udara Kesatuan Eropah, Eurocontrol, dalam kenyataannya memberitahu bahawa 75 peratus daripada syarikat-syarikat penerbangan masih menggunakan ruang udara yang sama sebelum jalan udara itu ditutup sepenuhnya pada Khamis lalu. -KedahNews.com