PM Sibuk Selesaikan Tragedi #MH17, Mahfuz Sibuk Nak Berbahas

Alor Setar - Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri-Menteri Kabinet sedang memerah otak bertungkus lumus cuba menyelesaikan tragedi MH17, PAS pula sibuk menegaskan kesediaan mereka untuk berbahas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya semalam seolah-olah mendabik dada menyatakan pihaknya akan menyediakan seramai tiga orang pembahas bagi membincangkan usul membabitkan tragedi MH17 di Parlimen.

Mahfuz berkata, dia mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang masih uzur dan tidak dapat menghadirkan diri ke sidang khas yang dijadualkan berlangsung pagi ini.

"Kita tidak dimaklumkan berapa orang wakil yang dibenarkan untuk berbahas untuk setiap parti dan berapa lama masa diperuntukkan sepanjang sidang bermula 10 pagi hingga 5.30 petang itu.

"Namun kita menyediakan tiga nama iaitu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar mewakili Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang mewakili Muslimat dan termasuk saya sendiri yang mewakili Presiden PAS yang tidak dapat hadir," katanya yang dipetik dari Harakahdaily, semalam.

Peliknya, Pesuruhjaya PAS Kedah itu sendiri sedar tentang kelaziman sidang Parlimen yang hanya memberi peluang tidak kurang dua orang wakil bagi setiap parti untuk berbahas, namun dia tetap "berdegil" menyediakan tiga nama dari PAS bagi tujuan tersebut.

Perdana Menteri mengumumkan sidang khas Parlimen yang diadakan untuk membincangkan mengenai tragedi MH17 yang berlangsung pagi ini dan ditayangkan secara langsung di TV1 bermula jam 10 pagi.

Mengulas lanjut mengenai "persediaan berbahas"nya, Mahfuz menjelaskan bahawa pihaknya akan menyentuh mengenai hubungan di antara Malaysia dengan Rusia dan Ukraine, selain "mengarah" pihak Kerajaan tentang apa yang sepatutnya dilakukan.

"Kita akan tekankan hubungan antara Malaysia-Rusia dan Ukraine, dan apa yang kita perlu lakukan," katanya cuba "mengajar" Kerajaan bertindak, meskipun menyedari Najib telah dipuji dunia atas tindakannya yang berjaya mencapai kemajuan berhubung tragedi berkenaan.

Mahfuz juga memaklumkan bahawa dia akan cuba "keluar tajuk" dengan menyentuh tentang perkembangan konflik di Gaza di dalam sidang khas itu walaupun ia diadakan khas untuk tragedi MH17.

"Selain itu kita juga akan selitkan isu yang berlaku di Gaza sekarang kerana itu turut membabitkan isu kemanusia sejagat," katanya lagi yang dipetik dari laman rasmi PAS itu. -KedahNews.com