Polis Sahkan Serangan Pengganas Di Pulau Mabul


Pulau Mabul, Semporna, 13 Julai - Polis Daerah Semporna telah mengesahkan mengenai laporan kejadian tembak-menembak di antara pihak keselamatan dan pengganas di Pulau Mabul semalam yang mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) telah mati terkena tembakan manakala rakannya dipercayai telah diculik oleh kumpulan tersebut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitenden Mazlan Lazim telah mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.00 malam semalam setelah dihubungi pihak media pagi tadi.

Sebelum ini, KedahNews.com ada menulis satu laporan mengenai berita seorang anggota keselamatan telah mati ditembak manakala rakannya telah diculik oleh pengganas dipercayai Tentera Sulu yang pernah melakukan penceroboh di Lahad Datu sebelum ini.

Dalam satu sumber lain yang kami terima, mangsa, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dilaporkan hilang semasa kejadian namun telah berjaya ditemui semula berhampiran lokasi serangan dan telah meninggal dunia kerana ditembak.

Menurut sumber, mangsa dilaporkan sempat berbalas tembakan dengan kumpulan pengganas sebelum mati akibat terkena tembakan.

Rakan setugas mangsa, Koperal Zakiah Aliep, 26, dilaporkan telah hilang dipercayai telah diculik oleh kumpulan pengganas berkenaan yang memakai pakaian berceloreng.

Dalam laporan yang diterima, pihak berkuasa sedang merangka beberapa pelan untuk mengesan kumpulan pengganas tersebut yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Mabul. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor.