Rafizi Anggap Kerajaan Selangor Tidak Lancar, Sebab Itu Cetus "Kajang Move"

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bahawa Langkah Kajang atau lebih dikenali sebagai "Kajang Move" digerakkan bagi melancarkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, yang kini diketuai oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, pelbagai isu yang timbul di negeri itu seolah-olah gagal ditangani dengan baik sehingga menyebabkan dia menggerakkan langkah strategi itu di Selangor.

"Langkah Kajang… semua orang faham untuk selesaikan pelbagai isu yang timbul di Selangor," katanya yang dipetik dari media tempatan baru-baru ini.

Rafizi juga membayangkan seolah-olah gerakan yang dimulakan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Kajang lalu itu merupakan langkah yang sangat bijak dan ampuh, sekaligus menyebabkan UMNO berasa "ngeri" dengan strategi tersebut.

"Perbincang mereka ini bukan apa, mereka risau kalau Langkah Kajang terlaksana…sebab itu saya kata Langkah Kajang ini ‘igauan ngeri’ Umno," katanya mengulas mengenai komen dan gelak tawa UMNO sebelum ini terhadap gerakan "Kajang Move" itu.

Menurutnya, komen-komen para pemimpin UMNO terhadap kemelut kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor itu menunjukkan mereka "gentar" pada strategi yang diilhamkan Rafizi.

“Umno ambil berat dalam Pakatan Rakyat (PR)… peliknya, selalunya Umno 100 peratus akan tepuk tangan jika PR menghadapi masalah, tetapi Langkah Kajang ini Umno setiap hari bincang," ulasnya, cuba menjustifikasikan gerakan tersebut.

Krisis kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dilihat cuba menggulingkan Khalid dari jawatan Menteri Besar disifatkan sebagai fasa terbaru dalam "Kajang Move" dan ia menjadi bahan sindiran gelak ketawa para pemimpin UMNO di seluruh negara. -KedahNews.com