Tidak sampai 48 jam selepas diserbu pihak berkuasa pada Isnin lalu,
sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal di Jalan Yap Kwan Seng
di sini kembali menjalankan operasinya dengan menawarkan promosi bufet
Ramadan kepada orang ramai.
Restoran yang menggunakan nama dan elemen kemelayuan dikesan masih
menerima tempahan daripada pelanggan bagi hidangan berbuka puasa
menerusi panggilan telefon.
Tidak cukup dengan itu, restoran berkenaan yang merupakan sebuah bar
turut menyajikan pelbagai minuman keras secara terbuka dan bebas pada
waktu malam.
Pada Isnin lalu, restoran itu diarahkan menghentikan tawaran bufet
Ramadan kerana tidak mempunyai sijil halal dan menjual minuman keras
oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Ops Bufet Ramadan.
Turut bersama dalam operasi itu ialah Pejabat Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Lumpur dan Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Restoran yang masih dibawah siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan
2011 menawarkan pakej bufet Ramadan dengan menghidangkan masakan Melayu
dan Arab pada harga RM75 untuk dewasa dan RM35 (kanak-kanak).
Kedegilan restoran itu yang masih menawarkan bufet Ramadan terbongkar
selepas Mstar Online pada malam Selasa menghubunginya dengan menyamar
sebagai pelanggan untuk membuat tempahan meja bagi sesi berbuka puasa
pada Rabu.
Amat mengejutkan apabila kakitangan restoran yang menjawab panggilan
berkenaan memberitahu bahawa masih terdapat kekosongan tempahan meja
untuk bufet Ramadan.
Kakitangan restoran: "Hai, ini restoran XXXXX."
Mstar: "Boleh buat booking (tempahan) untuk bufet Ramadan?
Kakitangan: "Boleh, harga RM75 nett. Bila tu?
Mstar: "Nak booking untuk esok (Rabu). Kalau saya nak book untuk buka
puasa esok, bila boleh saya buat last call (waktu panggilan terakhir
untuk tempahan)?
Kakitangan: "Boleh buat tempahan sekurang-kurangnya enam jam lebih awal (sebelum waktu berbuka puasa)."
Tinjauan pada malam Selasa mendapati tiada lagi kain rentang bufet
Ramadan dipaparkan di luar premis berkenaan berikutan ia sudah
diturunkan dan disita oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, khemah berwarna putih dan hijau yang mempunyai
meja-meja dan kerusi-kerusi, terletak di dalam kawasan premis sebagai
tempat untuk bufet Ramadan dipercayai masih digunakan.
Ini termasuk lampu hiasan berbentuk bulan sabit dan bintang segi
berbucu lima, yang mengelilingi khemah tersebut turut dinyalakan, sekali
gus mengaburi orang ramai mengenai kesahihan bufet Ramadan yang
ditawarkan oleh restoran itu.
Berdasarkan pemeriksaan mStar Online setakat 6 pagi Rabu, laman web
rasmi restoran berkenaan termasuk laman sosial Facebooknya masih lagi
memaparkan promosi bufet Ramadan.
Terdapat komen yang ditulis pada Selasa di bawah gambar pakej bufet
Ramadan yang dimuatkan di Facebook restoran itu: Abu Ammar Alattas: "Dah
kena rush (serbu) Jakim semalam. Harap umat Islam berhati-hati dengan
restoran ini yang menyajikan arak."
Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Muhammad Khalid Osman
ketika dihubungi berkata, restoran berkenaan sepatutnya menghentikan
segala promosi bufet Ramadan serta-merta selepas didapati tidak
mempunyai sijil halal dan memiliki minuman keras.
"Kita hanya membenarkan restoran itu menjalankan operasi seperti
biasa sepanjang tempoh siasatan tetapi bukan promosi bufet Ramadan.
"Arahan ini termasuk promosi bufet Ramadan menerusi medium lain
seperti laman web rasmi restoran itu supaya tidak mengelirukan orang
ramai. Ini merupakan satu kesalahan," katanya.
Ditanya mengenai tindakan, Muhammad Khalid berkata, beliau akan
meneliti perkara itu dan mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan
Ops Bufet Ramadan terlebih dahulu sebelum membuat tindakan susulan.
Sumber: Mstar