LOS ANGELES – Microsoft mengumumkan pembuangan kakitangan terbesar
dalam sejarah membabitkan 18,000 pekerja atau 14 peratus daripada
kakitangannya ketika ia memperkemas perniagaan peranti mudah alih Nokia
dan menumpukan kepada sistem operasi Windows Phone.
Walaupun pembuangan pekerja itu memang dijangka, jumlah yang terbabit
memang mengejutkan. Ia mungkin langkah paling berani diambil Ketua
Eksekutif Satya Nadella sejak mengambil alih teraju kepimpinan daripada
Steve Balmer pada Februari.
Dalam emel kepada semua kakitangan, Nadella berkata, perubahan
berkenaan perlu bagi membolehkan syarikat menjadi lebih tangkas dan
bergerak lebih pantas.
Nadella membayangkan Microsoft tidak akan lagi mengeluarkan peranti
mudah alih murah Nokia Asha, serta menukar beberapa langkah Nokia pada
Februari, melancarkan siri telefon mudah alih dipanggil ‘X’ yang
beroperasi dengan platform Android dikeluarkan pesaingnya, Google.
“Untuk menguasai segmen peranti mahal, kita akan menumpukan kepada
inovasi terkini yang akan mempertingkat dan menambah baik persekitaran
hidup digital Microsoft kepada pengguna,” kata Nadella sambil menambah
perubahan itu memang sukar tetapi perlu dilaksanakan.
Pembuangan kakitangan berkenaan membabitkan 12,500 profesional dan
kakitangan di kilang yang berkaitan dengan pengambilalihan Nokia,
termasuk 1,100 di Finland. Turut terbabit ialah seramai 1,350 kakitangan
di Seattle serta 1,800 pekerja di Hungary.
Microsoft menganggarkan perlu membuat bayaran ganti rugi antara
AS$1.1 bilion (RM3.5 bilion) hingga AS$1.6 bilion (RM5.1 bilion).
Pengurangan kakitangan disasar membolehkan Microsoft mencapai
sasarannya yang ditetapkan September lalu, ketika mengumumkan pembelian
Nokia pada pertimbangan AS$7.3 bilion (RM23.2 bilion), iaitu mencatat
penjimatan kos sebanyak AS$600 juta (RM1.9 bilion) setahun selepas 18
bulan janji niaga itu dimuktamadkan.
Penganalisis di FBR Capital Markets, Daniel Ives, berkata jumlah
pembuangan kakitangan itu lebih sekali ganda daripada yang dijangkakan
pelabur di Wall Street.
Bagaimanapun, katanya, langkah itu perlu untuk memperkemas operasi dan struktur pengurusan yang terlalu besar di Microsoft.
“Microsoft perlu menjadi gergasi teknologi yang kemas dan ringkas
bagi mencipta pertumbuhan dan keuntungan seiring dengan tumpuannya dalam
bidang perkomputeran awan dan peranti mudah alih,” katanya.
Microsoft sebelum ini sudah mengurangkan 5,800 kakitangan pada 2009. - AP