KUALA LUMPUR – Calon presiden dan naib presiden Indonesia, Prabowo
Subianto dan Hatta Rajasa mengumumkan menarik diri daripada proses
Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014.
Ia dikatakan berpunca dakwaan Pilpres 2014 yang disifatkan memiliki kecacatan hukum dan tidak demokrasi.
“Terdapatnya penyelewengan yang besar, terancang dan sistematik pada
pemilihan presiden tahun ini,” kata Probowo kepada wartawan.
Dalam proses Pilpres 2014 pada Selasa, setelah pesaingnya Joko Widodo dijangka diumumkan sebagai pemenang.
Prabowo dan Hatta turut mengumumkan penarikan diri dalam proses akhir
kiraan kertas undi yang diselenggarakan Suruhanjaya Pemilihan Umum
(KPU) Indonesia pada masa ini.
Serentak itu, pasukan saksi kubu Prabowo – Hatta yang sedang meneliti
proses kiraan akhir keputusan Pilpres 2014 diarahkan untuk meninggalkan
sidang pleno serta-merta.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia memperketat kawalan
keselamatan di sekitar Jakarta menjelang pengumuman rasmi pilihan raya
tersebut.
Lebih 3,400 anggota keselamatan dikerah di sekitar bangunan
Suruhanjaya Pilihan Raya ketika pengiraan akhir undi di lima daripada 33
wilayah terbabit dalam proses demokrasi kali ini.
Proses kiraan akhir dilaksanakan wakil suruhanjaya dan dipantau saksi yang mewakili kedua-dua pihak.
Sebanyak 32,000 anggota pula diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Keputusan rasmi sehingga kini menunjukkan Gabenor Jakarta, Joko
Widodo mendahului kiraan dengan 53.15 peratus berbanding pencabarnya,
Prabowo.
Lebih 130 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab dalam pengundian pada 9 Julai lalu. – astroawani.com