Selangor Makin Huru-Hara Menjelang Aidilfitri...

Isu jawatan Menteri Besar Selangor makin cacamarba.Pimpinan PAS dan PKR masih berpegang kepada pendirian masing-masing.PKR tetap mahu Datuk Seri Wan Azizah Ismail ganti Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebaliknya PAS tetap mahu Khalid kekal sebagai Menteri Besar.

Al-kisahnya jika sesuatu kompromi tidak dicapai segera ada kemungkinan boleh berlaku ‘perang besar’ antara kedua parti komponen Pakatan Rakyat ini.

Ini lebih-lebih lagi pendirian PAS melihatkan Datuk Seri Haji Hadi Awang sendiri yang tidak nampak keperluan menukar Khalid.

Sehingga berita ini ditulis awal petang Sabtu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menyepi sejak Presiden PAS itu lepas ‘bom’ Jumaat yang boleh membantutkan ‘Langkah Kajang’ untuk pasang Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Ada sumber-sumber dalaman PKR dakwa Anwar amat terkejut dengan pendirian dan kenyataan terbuka Hadi pada sidang akhbar menentang hajat PKR.

Keresahan dalamam sudah terasa sejak Hadi membuat kenyataan. Budak-budak Anwar seperti Rafizi macam tidak boleh terima kenyataan itu dan mahu mendapat penjelasan dari Hadi sendiri.

Sabtu Setiausaha Agung PKR datuk Saifuddin Nasution mengeluarkan satu kenyataan yang nampak ‘agak keras’ berhubung pendirian Hadi.

Katanya PKR tetap akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 (di pejabat Anwar di bangunan Parlimen) itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor.

Menurutnya keputusan PKR untuk mencalonkan presiden parti, Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor telah dibentangkan dan diterima di dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada hari itu.

PAS diwakili enam orang di mesyuarat itu.Mereka terdiri dari Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Mustapha Ali, Setiausaha Agong PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS, Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PAS dan Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat.

Saifuddin juga mengungkit bagaimana PKR tidak campur dalam krisis kepimpinan Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak.

BERIKUT KENYATAAN MEDIA PARTI KEADILAN RAKYAT
KEADILAN BERPEGANG KEPADA KEPUTUSAN RASMI MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT 23 JULAI 2014

Keputusan KEADILAN untuk mencalonkan presiden parti, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor telah dibentangkan dan diterima di dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 23 Julai 2014.

Proses itu adalah mekanisme membuat keputusan tertinggi di dalam Pakatan Rakyat yang telah dihormati sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan. Setiap parti diwakili oleh pimpinan tertinggi yang diberi mandat untuk menyampaikan keputusan parti masing-masing di peringkat Pakatan Rakyat.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bertarikh 23 Julai 2014, PAS diwakili oleh:

1. YBhg Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS
2. YBhg Dato’ Mustapha Ali, Setiausaha Agong PAS
3. YBhg Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS
4. YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS
5. YBhg Saudara Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PAS
6. YB Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat


Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, PAS dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar adalah dari KEADILAN.

Oleh yang demikian, KEADILAN akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor. Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini telah digunakan dalam menentukan Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Malah, dalam pergolakan membabitkan jawatan Menteri Besar Kedah sebelum Pilihanraya Umum ke-13, KEADILAN mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan Menteri Besar Kedah adalah dari PAS walaupun ada pelbagai permintaan dari pimpinan Pakatan Rakyat yang lain supaya KEADILAN turut menyatakan pendirian sama ada mahu Menteri Besar ditukar atau tidak.

Saya percaya semangat ukhuwwah dan saling menghormati prinsip pencalonan sebegini akan terus menguatkan Pakatan Rakyat. Ia adalah salah satu tiang seri yang menjadi tonggak persefahaman Pakatan Rakyat, makanya semangat menghormati prinsip pencalonan sebegini perlu dipertahankan demi mempertahankan Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, saya percaya kepimpinan PAS akan melalui proses dalaman dan mengambil kira pendapat semua pimpinannya serta komitmen yang telah dinyatakan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai 2014 yang lalu apabila Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat pada 10 Ogos 2014, seperti yang telah dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong KEADILAN

Dalam pada itu Dewan Ulamak PAS pula keluarkan satu kenyataan berdiri teguh dibelakang pendirian Hadi.

Ini dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar yang dakwa kenyataan Hadi pasal sokong Khalid bukan pendirian rasmi parti.

Menurutnya PAS hanya akan bermesyuarat dan memutuskan soal Khalid selepas hari raya ini.

Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Ahmad Yaakob yang juga Menteri Besar Kelantan kata kenyataan Hadi adalah pendirian tegas berdasar keputusan yang telah dibuat oleh PAS berkait dengan pilihanraya kecil Kajang yang lalu iaitu 1. Calon PRK Kajang diserahkan kepada PKR; 2. PAS membantu menurut keperluan; dan 3. Isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit.

BERIKUT KENYATAAN PENUH DEWAN ULAMAK PAS PUSAT SOKONG PENDIRIAN HAJI HADI PASAL KEDUDUKAN KHALID

KENYATAAN PRESIDEN PAS ADALAH PENDIRIAN SELURUH AHLI PAS

Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh sikap dan pendirian Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor perlu dikekalkan. Sila rujuk :
( http://www.harakahdaily.net/index.php/headline/29937-saya-sokong-khalid-kekal-mb-presiden-pas)

Kenyataan Presiden itu adalah pendirian tegas berdasar keputusan yang telah dibuat oleh PAS berkait dengan PRK Kajang yang lalu iaitu:
1. Calon PRK Kajang diserahkan kepada PKR;
2. PAS membantu menurut keperluan; dan
3. Isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit.

Oleh itu, pendirian Presiden tersebut adalah berasaskan keputusan yang telah disepakati bahawa tiada perubahan MB Selangor dan Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan tiada sebarang alasan Syarie yang kukuh dikemukakan sehingga kini untuk mewajarkan penukaran Menteri Besar Selangor dan beliau patut dibenarkan meneruskan amanah sehingga ke akhir penggal.

Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengamati bahawa tidak berlaku sebarang pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan, penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor sejak perlantikan beliau sebagai MB selepas PRU ke-13. Begitu juga, sejak beliau mula menjadi Menteri Besar pada tahun 2008 sehingga berjaya kembali mendapat mandat rakyat dengan kemenangan berganda untuk PR dalam PRU ke-13 lalu.

Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa maslahah mengekalkan jawatan beliau lebih kuat berbanding keperluan menukar MB baru. Sebarang usaha menukar MB Selangor tanpa persetujuan bersama 3 kompenan parti, PAS, PKR dan DAP sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan rakyat bawahan hendaklah dielakkan.

Pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru semua ahli PAS agar menghayati kebijaksanaan pendirian Presiden dalam hal ini tambahan lagi Presiden mempunyai hak pemutus dalam beberapa isu yang memerlukan keputusan segera.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

Sumber: AgendaDaily