Kuala Lumpur, 13 Julai – Serangan udara tentera Israel ke atas orang
awam Palestin sejak beberapa hari lalu membuktikan kebenaran al-Quran yang
menyebut tentang perangai dan sikap kaum Yahudi selama ini.
Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Hasanuddin Mohd.
Yunus berkata, serangan terbaru ke atas Palestin itu menunjukkan sikap zalim
Israel.
“Serangan dan kezaliman itu membuktikan kebenaran al-Quran yang
menceritakan perangai dan sikap mereka sejak dahulu hingga hari kiamat.
“IKRAM menyeru semua negara di dunia ini menggunakan kedudukan dan
pengaruh masing-masing bagi memberi tekanan ke atas pihak rejim Israel sehingga
mereka memberhentikan segera kezaliman itu,” katanya melalui satu kenyataan
media hari ini.
Hasanuddin berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertindak segera bagi menghentikan
pembunuhan rakyat Palestin.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang menyokong hak rakyat Palestin dan akan memberi dan
bantuan kepada rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Katanya, IKRAM turut menyambut baik seruan Naib Presiden PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man agar ahli-ahlinya membaca doa Qunut Nazilah pada
malam-malam tarawih.
Najib yang juga Presiden UMNO semalam menegaskan, UMNO mengutuk
sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel dalam serangan terbaharu di
Gaza.
Perdana Menteri berkata, serangan tersebut telah mengakibatkan ramai
orang awam terkorban.
Beliau memberitahu, parti itu sentiasa berdiri teguh di sebalik
perjuangan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak mereka.
Sumber: Mynewshub.my