Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjelaskan dia tidak pernah
menyimpan sebarang dendam terhadap biduanita negara Datuk Sharifah Aini,
61, walaupun pernah terjadi krisis diantara mereka sebelum ini.
Siti, 35, berkata, dia tetap menghormati biduanita tersebut sebagai
seorang kakak yang banyak mengajarnya mengenai dunia muzik selain
memberi jasa besar terhadap industri seni tanah air.
"Yang dah lepas itu lepaslah. Saya tak simpan dalam hati dengan apa yang telah berlaku.
Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika beliau muncul di Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan imej bertudung," katanya.
Siti ditemui di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini
bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sharifah Aini.
Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat
Perubatan Pakar Damansara di sini akibat fibrosis paru-paru atau
'paru-paru berparut' selain virus Influenza A H1N1.
Siti dan Sharifah Aini sebelum ini pernah dilaporkan mempunyai krisis sehingga membuatkan mereka tidak bertegur sapa.
Bagaimanapun hubungan mereka kembali jernih selepas beberapa wartawan
hiburan memainkan peranan untuk mejernihkan kembali hubungan mereka dan
detik itu dirakamkan untuk satu sesi fotografi bagi keluaran Hari Raya
pada tahun 2010.
Sementara itu, Siti yang ditemubual media selepas dia membacakan surah
Yasin kepada Allahyarham dengan reaksi wajah yang cukup sedih sehingga
membuatkan beliau tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata
apabila bercakap mengenai biduanita itu.
"Sejak disatukan bersama dalam sebuah sesi fotografi sebelum ini, hubungan kami seperti adik beradik.
"Subhanallah, dia pergi ketika di bulan Ramadan dan ia berlaku hanya kepada insan-insan yang terpilih.
"Terlalu banyak kebaikan beliau lakukan membuatkan saya begitu kagum
dengannya. Bukan hanya saya, arwah ayah saya juga menyanjunginya," ujar
Siti.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dekat sini sebelum solat Zohor pada Sabtu.
Sumber: Mstar