RANTAU PANJANG – Ramadan yang
mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam
serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam.
Kejadian sejak 3 Julai lalu,
menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat
fardu dan tarawih.
Kebiasaannya kes seumpama ini
dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini,
kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama
Islam.
Perselisihan ini membawa kepada
percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika
menunaikan solat.
Tinjauan mendapati, perpecahan
itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut
terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang.
Bagi kumpulan pertama ia diketuai
oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala
kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah
lain di belakang saf pertama.
Pengakuan kumpulan satu
Pemilik tapak masjid berkenaan,
Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang
ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru
Zakaria) sebelum ini.
Menurutnya, ketika itu tiada
masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati
dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini.
“Mungkin mereka tidak berpuas
hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah
seumpama itu.
“Bagi saya, saya amat berbangga
apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak
pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya,” katanya.
Beliau yang juga guru di sekolah
dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut
Tarekat Tarjani.
Menurutnya, selawat dan
solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah.
Namun katanya, penduduk tidak
yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan
solat di masjid ini.
“Saya paling kecewa pada 2012
lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina
arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik,”
katanya.
Menurutnya, tindakan penduduk
kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan
huru-hara.
Disebabkan katanya, dia
memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan
kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu.
Kumpulan kedua beri penjelasan
Sementara itu, seorang penduduk,
Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula
memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu.
Ketika itu katanya, penduduk
dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin
seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria.
Beberapa lama selepas itu, Mohd
Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak membenarkan 13
penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu.
Memandangkan masjid ini dibina di
atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk
dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan
perselisihan.
Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah
membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurutnya, jemaah dari kumpulan
Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan
berganjak dari saf depan menyebabkan
kejadian solat dua imam serentak.
Katanya, penduduk sukar tunaikan
solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan
berganjak dari saf hadapan.
Maka katanya, jemaah terpaksa
membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib,
Isyak dan solat tarawih.
“Mereka hanya duduk di hadapan
saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat.
“Disebabkan waktu Isyak semakin
menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa
menunggu mereka selesai berselawat,” katanya.
Keadaan ini katanya, turut
berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut
dua imam berlainan.
Sementara itu, penduduk, Ismail
Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam
satu-satu masa.
Namun katanya, insiden ini
menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk
untuk beribadah di bulan Ramadan.
Sementara itu, Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya
insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Maik, Dato’
Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung
kejadian ini.
Namun katanya, Maik akan hantar
pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit
seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan.
“Insiden ini tidak sepatutnya
berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah
ALLAH,"katanya.
Sumber : Sinar Harian