Sudikah "Awek Cun" Melayu Sertai DAP?

DAP kini sedang kuat berkempen kepada "awek-awek cun" bangsa Melayu untuk menyertai parti itu dengan mempromosikan "model-model" terkini seperti Syefura Othman, seperti yang disiarkan di laman rasminya, Roketkini.com.

Syefura atau nama manjanya, "Rara", baru berusia 25 tahun telah memilih untuk menjadi ahli DAP meskipun ibunya merupakan seorang aktivitis tegar PAS.

Rara mendakwa bahawa dia memilih DAP kerana parti itu memberi ruang kepada wanita muda berbangsa Melayu untuk menjadi pemimpin.

Namun mungkin Rara terlupa bahawa PAS dan UMNO juga sentiasa memberi ruang pada golongan wanita muda untuk berjuang dalam politik melalui sayap-sayap parti seperti Dewan Muslimat PAS dan Puteri UMNO.

Rara juga menyanjung DAP yang sebelum ini mengisytihar Deklarasi Shah Alam yang dibuat pada 8 Januari 2012 untuk “Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.”.

Namun mungkin Rara yang masih "mentah" itu kurang celik dengan perjuangan utama DAP yang mahukan "Malaysian Malaysia" di mana kesamarataan hak yang diperjuangkan parti itu secara tidak langsung akan menjadikan Islam, Melayu dan Bumiputera hilang keistimewaan yang ditetapkan oleh Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Rara lagi, ramai "awek-awek Melayu" enggan menonjol diri berjuang bersama DAP kerana takut diapa-apakan.

Namun mungkin Rara "kabur" tentang lebih ramai lagi wanita muda Melayu yang sedar tentang retorik DAP yang kononnya berjuang untuk semua bangsa, namun terkenal dengan polisi tidak rasminya yang menyebelahi kaum Cina dan menidakkan kaum lain, khususnya di Pulau Pinang.

Mungkin Rara hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja tentang apa yang berlaku terhadap penduduk Kampung Buah Pala, para peniaga dan usahawan bangsa Melayu dan Bumiputera yang kini hidup dalam tekanan di bawah pemerintahan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Apapun, Rara masih disifatkan "mentah" dalam mengenali politik dan perjuangan atas kertas berbanding apa yang berlaku secara realiti sehingga tergamak menyisihkan diri dari jemaah ibunya sendiri mahupun parti majoriti Melayu yang lain.

Bagi Melayu yang lama di dalam DAP seperti bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Ibrahim sudah tentu tahu agenda di sebalik parti tersebut. 

Dan Rara juga mungkin boleh merujuk pada Zairil Khir Johari dan bertanya padanya tentang kemelut yang melanda DAP Kedah dan Dyana Sofya yang kalah dalam PRK Teluk Intan di mana kedua-duanya menjadi mangsa "chauvinis ultra kiasu" di kalangan ahli DAP. -KedahNews.com